
PETALING JAYA: Lebih 70 kadet yang menjalani latihan di Akademi Ketenteraan Amerika Syarikat didakwa menipu ketika peperiksaan dalam talian semasa mengikuti pembelajaran jarak jauh disebabkan pandemik COVID-19, lapor AP News.
Leftenan Kolonel Christopher Ophardt, jurucakap akademi di West Point itu, berkata pada Isnin 73 kadet dituduh menipu dalam peperiksaan kalkulus pada Mei selepas pengajar mendapati sesuatu yang tidak kena pada jawapan mereka.
Semuanya, kecuali seorang individu, adalah penuntut tahun pertama dalam kelas yang mempunyai 1,200 pelajar, manakala pelajar terakhir dari tahun dua.
“Kod kehormatan dan pembangunan peribadi West Point masih dikekalkan meskipun pembelajaran melalui jarak jauh dan cabaran akibat pandemik,” kata Ophardt.
“Kadet berkenaan akan bertanggungjawab atas perbuatan mereka.”
Hasil siasatan jawatankuasa yang terdiri daripada kadet terlatih, dua kes digugurkan kerana kekurangan bukti, manakala empat lagi kes digugurkan selepas kadet terbabit memilih untuk berhenti, katanya.
Daripada baki 67 kes, 55 kadet mengaku menipu dan akan menyertai program pemulihan enam bulan yang memfokuskan etika. Mereka juga akan diletakkan bawah percubaan sepanjang berada di akademi itu.
Selain itu, tiga kadet mengaku menipu tetapi tidak layak menyertai program pemulihan tersebut.
Baki kadet yang didakwa menipu akan berdepan prosiding pentadbiran untuk mengenal pasti sama ada mereka melanggar kod kehormatan dan mencadangkan hukuman yang boleh dikenakan, termasuk dibuang dari situ.
Skandal penipuan itu yang terbesar berlaku di West Point sejak 1976, apabila 153 kadet meletak jawatan atau dibuang kerana menipu dalam peperiksaan kejuruteraan elektrikal.