Puasa dari segi bahasa bermaksud menahan diri daripada melakukan sesuatu manakala dari segi syarak pula bermaksud menahan diri pada waktu siang daripada melakukan perkara-perkara tertentu dari terbit fajar hingga terbenam matahari.
Berpuasa pada bulan Ramadan merupakan salah satu daripada Rukun Islam yang mana syariat ini diturunkan kepada umat Nabi Muhammad SAW pada 10 Syaaban tahun ke-2 Hijrah. Makanya, wajiblah ia dilakukan oleh semua orang Islam.
Di samping itu, bulan Ramadan juga merupakan bulan yang paling banyak amal timbangannya kerana merupakan bulan penuh keberkatan dan paling mulia disisi Allah SWT. Oleh yang demikian, disarankan kita untuk memperbanyakkan ibadah sunat pada bulan ini, tanpa meninggalkan ibadah yang wajib seperti solat lima waktu.
Seperti yang sudah diketahui oleh semua umat Islam, kedua-dua ibadah sembahyang lima waktu serta berpuasa pada bulan Ramadan merupakan amalan wajib dilakukan dan terdapat dalam Rukum Islam.
Meskipun begitu, masih terdapat sebilangan umat Islam yang tidak mengamal dan mempraktikkannya. Mufti Wilayah Persekutuan, Dato’ Seri Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri telah mengemukakan pandangannya berkenaan perkara ini dalam laman rasmi Pejabat Mufti WP.
Untuk menjawab soalan ini, sebagai muqaddimah saya nukilkan pendapat Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi melalui kitabnya, Fatawa Muasirah: “Orang Islam dituntut melakukan semua ibadat, iaitu mendirikan sembahyang, membayar zakat dan berpuasa pada bulan Ramadan dan mengerjakan haji jika berkemampuan. Sesiapa yang meninggalkan salah satu ibadat ini tanpa keuzuran, dia telah melampaui batas terhadap Allah.”
Ulama Islam telah mengeluarkan berbagai-bagai pendapat, sesetengahnya berpendapat kufur jika meninggalkan salah satu ibadat ini. Ada pula yang mengkafirkan orang yang meninggalkan sembahyang dan enggan membayar zakat. Sebahagian berpendapat yang lain pula hanya orang yang meninggalkan sembahyang sahaja menjadi kufur kerana kedudukan sembahyang yang tinggi di dalam Islam.
Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim menjelaskan: “Di antara hamba dan kekufuran itu ialah meninggalkan sembahyang.”
Ulama yang mengkafirkan orang yang meninggalkan sembahyang dengan sengaja, dengan sendirinya berpendapat bahawa puasa orang itu juga tidak diterima kerana orang kafir itu sendiri amalannya tidak diterima.
Sesetengah ulama masih lagi mengiktiraf keimanan dan keislamannya selama mana orang itu masih mempercayai kebenaran Allah dan Rasul-Nya serta tidak membangkang atau mencela apa yang dibawa Rasulullah SAW. Mereka menyifatkan orang seperti ini sebagai fasik.
Mudah-mudahan pendapat ini lebih benar dan adil. Jika dia mengurangkan sebahagian daripada ibadatnya yang wajib kerana malas atau mengikut hawa nafsu, tanpa mengingkari atau mempermain-mainkannya dan dia juga melakukan ibadat-ibadat yang lain, dia dikira Muslim yang tidak sempurna, imannya lemah dan dan jika berterusan meninggalkannya, Allah tidak mensia-siakan amalan kebaikannya.
Pahala terhadap apa yang telah dilakukannya tetap ada, sebaliknya dia berdosa di atas ketelanjurannya.
Riwayat Bukhari & Muslim
Kami lebih cenderung kepada pendapat yang mengatakan puasa sah tetapi tidak dipahalakan kerana menafikan rukun Islam yang sangat penting iaitu solat.
Inilah sebahagian daripada Ahkam al-Siyam yang ingin dibentangkan kepada masyarakat Islam agar difahami dengan jelas untuk menjadikan puasa benar-benar menepati syariat.
Semoga perkongsian ini memberi manfaat buat semua.