KUALA LUMPUR: Perhimpunan agung tahunan PPBM yang akan berlangsung secara maya esok antara lain dijangka membincangkan pemansuhan jawatan pengerusi parti.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PPBM Mohd Redzuan Md Yusof berkata, isu itu sudah dibincangkan di peringkat pucuk pimpinan parti.
“Mengenai pemansuhan jawatan pengerusi, perkara itu betul dan bukan ura-ura. Kita dah bincang pun dan saya rasa mendapat sokongan kebanyakan ahli untuk memantapkan pengurusan parti itu sendiri.
“Sebabnya kita tidak mahu ada dua kapten dalam satu kapal, jadi kita cuma mahu ada presiden,” katanya selepas menjadi tetamu program Malaysia Petang Ini bertajuk “Wawasan Kemakmuran Bersama 2030”, terbitan Bernama TV hari ini.
Jawatan itu sebelum ini disandang Dr Mahathir Mohamad sebelum keahlian beliau dalam PPBM ditamatkan.
Mengulas lanjut, Redzuan berkata pemansuhan jawatan itu akan memerlukan pindaan terhadap perlembagaan parti.
Buat pertama kali perhimpunan agung tahunan parti itu akan diadakan secara telesidang dan Setiausaha Agung PPBM Hamzah Zainudin dilaporkan berkata, persidangan akan disertai perwakilan dari seluruh negara yang berkumpul di pejabat badan perhubungan negeri serta hotel tertentu.