PKR Sarawak tolak peletakan jawatan Larry Sng

0
333
Larry Sng pada Isnin lalu menyatakan hasrat melepaskan jawatan ketua PKR Sarawak, mengatakan ia patut diketuai oleh pemimpin Dayak untuk menghadapi pilihan raya negeri ke-12.

PETALING JAYA: Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sarawak menolak peletakan jawatan Ahli Parlimen Julau Larry Sng sebagai ketua PKR negeri itu.

Ketua Penerangan MPN PKR Sarawak Abun Sui Anyit berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat tergempar diadakan hari ini dan dipersetujui sebulat suara oleh semua ahli MPN.

Katanya, PKR menyokong Sng dengan mandat penuh, meneruskan kepimpinannya sehingga pemilihan PKR akan datang.

“Setiap ahli PKR diperingatkan berterusan bahawa PKR merupakan parti pelbagai kaum dan latar belakang yang mendukung setiap bakat kepimpinan berdasarkan merit keadilan untuk semua tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, ahli PKR di Sarawak diminta bertenang dan memberi sokongan tanpa berbelah bahagi kepada semua kepimpinan parti dari peringkat pucuk pimpinan sampai ke bahagian.

Katanya, pimpinan PKR Sarawak menyeru bahagian dan ahli supaya terus bersatu dan menumpukan kepada usaha memperjuangkan serta membela nasib rakyat.

Sng pada Isnin lalu menyatakan hasrat melepaskan jawatan ketua PKR Sarawak, mengatakan ia patut diketuai oleh pemimpin Dayak untuk menghadapi pilihan raya negeri ke-12.