HomeNEWSPKPB di Sabah mungkin dilanjut, kata Masidi

PKPB di Sabah mungkin dilanjut, kata Masidi

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Masidi Manjun berkata keputusan sama ada melanjutkan atau menamatkan PKPB atau melaksanakan sebarang bentuk langkah kawalan lain akan mengambil kira kepentingan semua sektor.

KOTA KINABALU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Masidi Manjun membayangkan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang tamat pada 6 Disember ini mungkin dilanjutkan lagi.

Bagaimanapun, katanya perkara itu hanya akan diputuskan selepas mendapat nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“KKM menerusi Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) akan membuat penilaian dan analisa situasi Covid-19 di negeri ini sebelum memberikan nasihat bagi keputusan melanjutkan atau menamatkan PKPB.

“Keputusan ini bukan perkara mudah untuk diambil kerana kalau kita lihat statistik kes, kita masih dalam tiga angka dan jumlah kes baharu ini masih dianggap bahaya,” katanya pada sidang media menerusi aplikasi Zoom, hari ini.

Masidi berkata, kerajaan juga sedang meneliti perkara itu daripada pelbagai aspek termasuk ekonomi dan situasi semasa kes jangkitan Covid-19 di Sabah dalam beberapa hari ini menjelang tamatnya tempoh PKPB.

“Keputusan sama ada untuk melanjutkan atau menamatkan PKPB atau melaksanakan sebarang bentuk langkah kawalan yang lain akan mengambil kira kepentingan semua sektor tertakluk kepada nasihat KKM dan MKN.

“Seperti saya katakan sebelum ini, kes di Sabah seperti ‘yoyo’ sekejap turun, sekejap naik. Jika ada kluster baharu angka akan naik, kalau tiada kluster angka akan menurun dan itulah ‘trend’ yang berlaku di Sabah.

“Tetapi kita masih dianggap bahaya kerana tiga angka dan ini bukan satu angka yang memberi kita keselesaan, saya ingat semua pihak harus melihat statistik ini sebagai satu isyarat bahawa kita perlu memastikan semua penduduk mematuhi prosedur operasi standard (SOP),” katanya.

Must Read

Related News