Pihak ketiga boleh cabar rampasan RM49 juta daripada ayah Jho Low

0
159
Pihak berkuasa dikatakan cuba mengesan lokasi Larry Low, anaknya Jho Low dan isterinya Goh Gaik Ewe lebih setahun.

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan dalam kes pelucutan hak terhadap Larry Low, ayah Low Taek Jho mempelawa mana-mana pihak yang berminat untuk mencabar rampasan RM48.9 juta untuk tujuan siasatan 1MDB.

Timbalan Pendakwa Raya, Syafinas Shabudin memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan yang pihak pendakwaan sudah menghantar notis meminta kebenaran mahkamah menerbitkan notis pihak ketiga dalam warta persekutuan.

“Pada masa sama, kami ingin membuat beberapa pindaan terhadap permohonan pelucutan kami dengan memasukkan lokasi bank akaunnya.”

Zaini menetapkan 22 Jan depan untuk sebutan semula kes, sementara menunggu pengeluaran notis pihak ketiga dan pindaan pihak pendakwaan.

Mahkamah sebelum ini membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk merampas RM48.9 juta dalam tujuh akaun bank Larry, atas alasan dana itu hasil kegiatan tidak sah seperti dinyatakan di bawah Seksyen 56 (2) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram.

Pihak pendakwaan kemudiannya memfailkan pindaan pelucutan itu kerana terdapat sedikit perbezaan daripada notis asal mengenai nama bank dan jumlah terlibat.

Tiada pihak ketiga tampil mencabar rampasan RM48.9 juta itu dan Larry tidak diwakili peguam di mahkamah.

Media melaporkan pihak berkuasa cuba mengesan lokasi Larry, isterinya Goh Gaik Ewe dan Jho Low lebih setahun untuk membantu siasatan ke atas urusan 1MDB.