HomeNEWSPerniagaan “online” bantu hidupkan semula Hotel My Kampong

Perniagaan “online” bantu hidupkan semula Hotel My Kampong

Noraffeza, di hadapan hotelnya, Hotel My Kampong.

Indah sekali namanya, Hotel My Kampong, menjemput pelanggan masuk untuk berehat melepaskan lelah terutama mereka yang datang dari jauh. Namun, keindahan itu hanya tinggal pada nama. Operasinya agar kelam sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Bermula bulan Mac, sempadan negara ditutup bermakna tiada lagi pelancong asing dibenarkan masuk ke dalam negara. Pergerakan ekonomi dihadkan, maka perniagaan hotelnya turut lumpuh. Bukan dia sahaja malah, hampir kesemua hotel di seluruh Malaysia mengalami nasib yang sama.

Bersama rakan niaga yang juga suaminya, Khairul Shubry.

Noraffeza Bt Kusman, 44 dan suaminya Khairul Shubry Bin Haji Salleh, 44 antara pengusaha hotel di Malaysia yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19. Industri perlancongan dan perhotelan terus suram dari aktiviti yang aktif suatu ketika dahulu. Banyak hotel mengalami kerugian yang bukan sedikit.

“Sebenarnya, hotel kami terkesan dari bulan Disember tahun lepas lagi, perniagaan merosot bila tiada pelanggan. Setiap bulan sewa hotel dan bil api air mesti dibayar, bila tiada pendapatan masuk, semuanya menjadi sukar.

Akibat terjejas, pasangan usahawan ini pernah terfikir untuk menutup perniagaan hotel mereka.

“Kami pernah terbayang untuk menutup terus perniagaan ini tetapi bila difikirkan semula, kami kena kuat dan terus bertahan. Perniagaan ini beri kami kepuasan,” ujar anak kelahiran Felda Keratong, Pahang ini.

Tanpa berfikir panjang, Noraffeza kemudian menjalankan perniagaan “online” menjual barangan hotel. Bermula dengan bantal kemudian tuala dan cadar hotel. Diselitkan juga produk makanan seperti pisang salai dan pekasam daging serta beberapa produk lain.

Antara barangan “online” yang kini menjadi sumber pendapatan mereka.
Set cadar hotel, produk baru yang dijual.
Tuala yang sentiasa mendapat permintaan tinggi di kalangan pelanggan “online”.

“Alhamdulillah, perniagaan “online” banyak membantu saya membayar sewa hotel dan semua bil. Mujur saya cepat bertindak. Keuntungan “online” bolehlah menampung kehidupan harian kami,” ujar ibu kepada lima orang cahaya mata ini.

Bercerita mengenai permulaan perniagaan hotelnya, Noraffeza berkata, “Dulu saya bekerja di hotel ini dan pada 2017, bos hotel ini menawarkan saya untuk membeli dan menguruskan perniagaannya. Setelah berbincang dengan suami, kami bersetuju dan di situlah permulaan segalanya.

“Saya masih ingat dan pegang kata-kata bekas bos saya iaitu, Feza, saya harap apa yang saya bagi pada you akan bantu hidup you. Kata-kata inilah yang memberi semangat kepada saya untuk terus bertahan,” kata wanita tabah ini.

Noraffeza bersama suami yang banyak membantu kerja-kerja penyelenggaraan hotel.

Menjalankan perniagaan bersama suami, Noraffeza bersyukur kerana suami banyak membantu dalam urusan penyelenggaraan, malah hotel yang mempunyai 16 buah bilik itu bagaikan rumah kedua mereka kerana kebanyakan masa dihabiskan disitu.

“Saya agak beruntung kerana suami pandai bertukang dan boleh membuat kerja-kerja selenggaraan. Jadi kami sudah jimat di situ. Malah, kami buat dobi sendiri. Pada kami, kebersihan adalah perkara utama dalam menjalankan Hotel My Kampong.

“Dengan pekerja juga, saya tidak pernah menganggap diri sebagai bos. Alhamdulillah, operasi hotel berjalan lancar, Hotel My Kampong sentiasa dipenuhi pelanggan pada awal beroperasi sebelum PKP,” ujarnya yang menjalankan perniagaan patuh Syariah yang mana hotelnya hanya menerima pelanggan yang sudah berkahwin sahaja.

Bila ditanya tentang pengalaman dan cabaran semasa menjalankan perniagaan ini, Noraffeza berkata, “Cabaran itu biasa dalam dunia perniagaan, ada naik dan turun. Sebelum saya mengambil alih, hotel ini pernah dirompak. Memanglah takut tapi kita kena hadapi apa juga cabaran.

“Pernah satu malam seorang pelanggan wanita datang “check ini” dan bayar sewa. Esoknya dia katakan pada saya yang dia tak ada duit nak makan. Jadi saya berikan balik wang sewa hotel kepadanya. Saya memang mudah kesian kepada orang. Itulah kelemahan saya tapi saya redha dan anggap itu sedekah,” katanya tersenyum.

Percaya kepada rezeki, baginya usaha amat penting dan jangan mengaku kalah jika belum mencuba.

“Rezeki kita tidak sama, saya percaya setiap orang ada rezeki sendiri. Saya juga tidak lupa berzakat dan bersedekah. Saya suka buat kerja amal dan ia beri satu kepuasan apabila kita dapat membantu orang lain,” ujar wanita yang juga aktif menunggang motosikal berkuasa tinggi ini.

Pasangan yang mempunyai hobi sama iaitu menunggang motosikal berkuasa tinggi.
Noraffeza bersama motor kesayangannya.

“Dahulu saya dan suami memang kaki motor, bila menunggang ia beri ketenangan pada kami. Sekarang, sesekali kami akan keluar berdua menaiki motor pusing-pusing sekitar bandar untuk hilangkan tekanan,” ujarnya yang masih memiliki motosikal berkuasa tinggi itu.

Kepada mereka yang ingin mengidap di Hotel My Kampong atau ingin mendapatkan produk-produk hotel seperti bantal, towel dan cadar anda boleh melayari laman facebook Affeza Kusman disini atau Hotel My Kampong di sini.

Hotel My Kampong.

Alamat
Hotel My Kampong
No. 77 Jalan Jad 3/KS9
Bandar Parklands
41200 Klang Selangor

Waktu beroperasi: 24 jam setiap hari

Untuk tempahan hubungi
Pejabat: 603-33189935
Pn. Affeza: 019-9001379
En. Kairul: 019-9125598

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Must Read

Related News