HomeNEWSPerikatan Nasional idea Dr M, dakwa Azmin

Perikatan Nasional idea Dr M, dakwa Azmin

Mohamed Azmin Ali berkata pengunduran Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri meletakkan negara dalam krisis politik.

PETALING JAYA: Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali mendakwa pembentukan Perikatan Nasional (PN) adalah cetusan idea bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Dalam temu bual dengan The Star, Azmin berkata cadangan itu bertujuan untuk memastikan Mahathir kekal sebagai perdana menteri dengan sokongan Ahli Parlimen semua parti.

“Kami kemudian bertungkus lumus memastikan Dr Mahathir terus kekal sebagai perdana menteri,” katanya merujuk pertemuan enam pemimpin parti di kediaman Mahathir.

Azmin berkata, beliau hadir dalam pertemuan dengan lima pemimpin parti lain, iaitu Muhyiddin Yassin (PPBM), Ahmad Zahid Hamidi (Umno), Shafie Apdal (Warisan), Abdul Hadi Awang (PAS) dan Abang Johari Openg (Gabungan Parti Sarawak).

Bagaimanapun, katanya pengunduran Mahathir sebagai perdana menteri awal tahun ini menyebabkan pelannya tidak berjalan lancar, sekiranya pemimpin berusia 95 tahun itu tidak meletak jawatan, beliau akan kekal menjadi perdana menteri dengan majoriti lebih besar di Dewan Rakyat.

Azmin berkata, pengunduran Mahathir sebagai perdana menteri meletakkan negara dalam krisis politik.

“Jika Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak bertindak dalam masa singkat, orang lain mungkin sudah bergegas ke istana dan memberi tekanan dalam usaha untuk menjadi perdana menteri. Saya tidak akan membiarkan perkara itu berlaku.

“Satu-satunya pilihan bagi saya dan Muhyiddin pada masa itu ialah meninggalkan Pakatan (Harapan),” kata Azmin yang kemudian meninggalkan PKR bersama bekas naib presiden parti itu, Zuraida Kamaruddin dan sembilan Ahli Parlimen lain.

Beliau dan 10 bekas ahli PKR itu menyertai PPBM pada Ogos.

Namun, kata Azmin pemimpin parti terbabit kembali menemui Mahathir dan berusaha mendapatkan majoriti untuk menyokongnya sebagai calon perdana menteri apabila Yang di-Pertuan Agong menemubual Ahli Parlimen untuk mengenal pasti calon disokong mereka.

Tetapi mereka gagal membuktikan Mahathir mendapat sokongan majoriti, akhirnya Muhyiddin yang memperolehnya.

Azmin berkata, beliau masih menganggap Mahathir sebagai bapa.

Dalam temu bual itu, beliau juga ditanya mengenai perbalahannya dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim, yang pernah disokongnya.

Azmin berkata, beliau tidak harus dipersalahkan.

“Saya berkhidmat untuknya selama 30 tahun. Secara rasminya 15 tahun apabila (beliau) menyandang jawatan menteri pendidikan, menteri kewangan dan timbalan perdana menteri.

“Saya juga menjaga keluarganya ketika beliau dalam penjara. Saya ingat selepas beliau dibebaskan dari penjara, beliau akan menjadi seorang yang lebih baik.”

Tetapi Azmin berkata, sebaliknya berlaku dan sejak itu ramai meninggalkannya.

Must Read

Related News