HomeNEWSPenganalisis tidak lihat ‘kuasa ketiga’ akan beri harapan dalam politik

Penganalisis tidak lihat ‘kuasa ketiga’ akan beri harapan dalam politik

Parti seperti Pejuang yang ditubuhkan Dr Mahathir Mohamad boleh menjadi ‘kingmaker’ dalam Dewan Rakyat, kata penganalisis.

PETALING JAYA: Penganalisis tidak melihat kuasa ketiga mempunyai daya tarikan dalam arena politik, walaupun penyokong Pakatan Harapan (PH) kecewa dengan kegagalan gabungan pembangkang itu meminta undi belah bahagi terhadap belanjawan.

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, kuasa ketiga tidak mungkin dapat menggantikan PH sebagai pembangkang, dan menambah perbincangan mengenai entiti politik ketiga yang “kuat” diperbesar-besarkan.

Bagaimanapun, memandangkan politik negara berpecah-belah, beliau berkata sebuah parti politik boleh memainkan peranan sebagai’kingmaker’ seperti dibayangkan Dr Mahathir Mohamad terhadap partinya Pejuang yang sedang menunggu kelulusan pendaftaran.

Beliau memberitahu FMT, di negara lain kuasa ketiga didirikan dengan sistem dua parti yang “sangat matang”, dengan perubahan kuasa yang kerap antara kerajaan dan pembangkang.

“Tetapi kita tidak mempunyai sistem dua parti yang matang, apatah lagi kuasa ketiga,” katanya.

Kerajaan dan pembangkang mungkin memerlukan sokongan beberapa kerusi daripada Pejuang dan Muda supaya mereka dapat memperoleh kerusi yang cukup untuk membentuk kerajaan.

“Kuasa ketiga mungkin boleh berfungsi sebagai ‘kingmaker’, tetapi bukan sebagai blok politik yang kuat,” katanya.

Azmi Hassan pula berkata, sekiranya kuasa ketiga mahu menjadi berpengaruh, ia mesti berasal daripada entiti politik lain yang sedia ada, sama ada PH atau gabungan kerajaan.

Beliau memberitahu FMT, asas politik seperti itu sukar untuk bertahan di Malaysia kerana rakyat sudah terbiasa dengan parti sedia ada.

“Tetapi jika beberapa parti boleh bergabung, maka kuasa ketiga boleh menjadi kuasa yang sebenar dalam politik negara,” katanya.

Menyusul apa yang berlaku di Dewan Rakyat pada Khamis, beliau berkata Pejuang dilihat sebagai calon sesuai untuk menjadi kuasa ketiga memandangkan ia tegas dengan pendirian untuk membantah belanjawan dengan meminta undi belah bahagi.

Bagaimanapun, beliau berkata parti pimpinan Mahathir itu masih jauh daripada menjadi kuasa ketiga yang hebat kerana ia hanya mempunyai bilangan Ahli Parlimen yang kecil dan ia menjadi lebih kecil dengan pemergian Maszlee Malik dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kumpulan seperti Gerak Independent dibentuk atas tujuan mendorong calon bebas bertanding dalam pilihan raya akan datang.

Penyokong PH menyuarakan kekecewaan mereka di media sosial berikutan Belanjawan 2021 diluluskan melalui undian suara dengan gabungan pembangkang memutuskan tidak meminta undi belah bahagi.

Tetapi dengan tiada pilihan yang memuaskan selain kerajaan, penyokong pembangkang mungkin akan terus menyokong PH walaupun lebih berhati-hati ketika ini.

Must Read

Related News