KOTA KINABALU: Polis menahan seorang penagih dadah yang dipercayai merogol kanak-kanak berusia lapan tahun di kawasan pondok dalam hutan di Inanam.
Lelaki berusia 25 tahun itu didakwa memberikan RM5 kepada mangsa selepas merogolnya supaya tidak menceritakan kejadian itu kepada keluarganya, Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Habibi Majinji berkata, kanak-kanak itu keluar dari rumah pada 8.30 pagi untuk ke rumah ibu saudaranya yang terletak berhampiran.
Ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya, mangsa ditahan oleh suspek terbabit.
Beliau berkata, lelaki itu memberikan gula-gula kepada mangsa dan meminta mengikutinya ke sebuah pondok di kawasan hutan, kira-kira 300m dari rumah kanak-kanak berkenaan.
“Mangsa ingin pulang, namun lelaki itu mengeluarkan pisau,” katanya ketika dihubungi hari ini.
“Selepas merogol mangsa, suspek membenarkan kanak-kanak itu pulang dan memberikannya RM5 supaya tidak memberitahu keluarganya mengenai kejadian itu,” kata Habibi.
Sebaik saja sampai di rumah dalam keadaan menangis, mangsa menceritakan kejadian itu kepada keluarganya.
Pemeriksaan perubatan mengesahkan kanak-kanak itu menjadi mangsa rogol.
Berikutan laporan polis, lelaki itu ditahan di tepi jalan Tuaran Bypass berhampiran Wisma YLY keesokan harinya.
“Lelaki itu juga positif dadah,” katanya memaklumkan pondok itu digunakan untuk melepas gian dadah.