HomePoliticsPembuat sarung tangan Brightway Holdings, 2 anak syarikat berdepan 30 pertuduhan

Pembuat sarung tangan Brightway Holdings, 2 anak syarikat berdepan 30 pertuduhan

Dalam serbuan minggu lepas, 781 pekerja didapati tinggal di dua blok kontena tiga tingkat dalam keadaan sesak. (Gambar Jabatan Tenaga Pekerja)

PETALING JAYA: Syarikat pengeluar sarung tangan Brightway Holdings Sdn Bhd dan dua anak syarikatnya berdepan 30 pertuduhan meliputi pelbagai kesalahan di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

Menurut Kementerian Sumber Manusia (KSM), 22 pertuduhan akan dibuka terhadap Brightway dan anak syarikatnya, Biopro (M) Sdn Bhd, manakala lapan pertuduhan terhadap satu lagi anak syarikatnya, La Glove (M) Sdn Bhd.

KSM itu berkata, Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) kini di peringkat akhir menyediakan kertas siasatan sebelum dikemukakan kepada timbalan pendakwa raya.

“Antara kesalahan tersebut adalah kegagalan majikan mendapatkan Perakuan Penginapan daripada Ketua Pengarah JTKSM di bawah Seksyen 24D Akta 446 dan juga pelanggaran Peraturan-peraturan di bawah Akta 446.

“(Ia) melibatkan penyediaan kemudahan yang tidak memenuhi spesifikasi standard minimum yang ditetapkan, iaitu Jadual Subperaturan 3 (1)(2)(i) Peraturan-peraturan Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Penginapan dan Penginapan Berpusat) 2020,” katanya.

KSM berkata jika disabitkan kesalahan denda maksimum sebanyak RM50,000.00 bagi setiap kesalahan boleh dikenakan.

Ia juga berkata, laporan berhubung kompaun RM1,000 yang dibuat sebelum ini adalah kompaun kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang dikeluarkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Klang.

“Tindakan tersebut tiada kaitan dengan penguatkuasaan Akta 446 di bawah bidang kuasa JTKSM.

“Kementerian tidak akan berkompromi terhadap sebarang perlanggaran atau ketidakpatuhan di bawah Akta 446 dan Peraturan di bawahnya,” katanya.

KSMjuga menyeru mana-mana majikan dan penyedia penginapan berpusat yang belum membuat permohonan Perakuan Penginapan supaya segera berbuat demikian bagi mengelakkan tindakan undang-undang diambil ke atas mereka.

Must Read

Related News