
ISKANDAR PUTERI: Pembangkang mempersoalkan kualiti beberapa jawapan lisan yang diberikan exco Johor dalam sesi soal jawab di Dewan Undangan Negeri (DUN) kali ini.
Mereka mendakwa beberapa jawapan diberikan exco tidak menjawab konteks soalan, tidak membina, sekadar “salin dan tampal” angka disediakan jabatan berkaitan serta inisiatif yang sudah diumumkan Putrajaya.
Dzulkefly Ahmad (PH-Kota Iskandar) agak kecewa kerana banyak isu, terutama ketika soalan tambahan dikemukakan, jawapan yang diberikan lari daripada konteks asal soalan dan bersifat retorik semata-mata.
“Kita hendak membina DUN yang bertaraf kelas pertama, itu juga cadangan yang dibawa ketika seminar atau bengkel memperkasa DUN Johor sebelum ini, tetapi hari ini saya kecewa melihat jawapan exco yang hanya bergantung pada maklumat dibekalkan pegawai dan jabatan berkaitan.
“Contoh soalan tambahan saya mengenai FDI (pelaburan langsung asing), kita bukan hendak jawapan retorik strategik, exco sepatutnya ceritalah mengenai kejayaan, apa hasil kerajaan berorientasikan keputusan, sebaliknya tidak menjawab.
“Hari ini, ada pula jawapan daripada exco diulang jawapan sama yang sudah diberikan Ahad lalu, sepatutnya kita perlu meningkatkan mutu perbahasan dengan kemukakan cadangan konstruktif bagi kemajuan negeri ini,” katanya kepada FMT.
Sementara itu, Jimmy Puah (PH-Bukit Batu) menyifatkan exco tidak bersedia dan tidak menguasai peranan portfolio yang digalas untuk memberikan jawapan tepat ketika sesi soal jawab lisan.
“Dahulu kita pun kerajaan dan belajar perkara ini, bila soalan tambahan, kita perlulah bersedia dari pelbagai sudut untuk menjawab, bincang dengan ketua jabatan.
“Ini satu-satunya forum untuk Adun mendapatkan jawapan daripada kerajaan. Kalau perkara ini berlaku, kita membazir masa saja dan wakil rakyat serta rakyat secara umumnya tidak mendapat jawapan menyeluruh.”