GENEVA: Krisis virus korona tidak akan menjadi pandemik yang terakhir dan cubaan untuk menambah baik kesihatan manusia akan “ditakdirkan gagal” tanpa menangani perubahan iklim dan kebajikan haiwan, kata Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus.
Beliau juga menyelar kitaran “pandangan sempit berbahaya” yang hanya tahu menggunakan wang untuk menangani penularan wabak tetapi tidak melakukan sebarang persediaan untuk berdepan pandemik yang seterusnya,” katanya dalam satu video.
Beliau berkata, sudah tiba masa untuk mengambil pengajaran daripada pandemik COVID-19.
“Sudah terlalu lama, dunia beroperasi dalam keadaan panik dan diabaikan,” katanya.
“Kita menggunakan wang untuk menangani penularan wabak dan apabila ia berakhir, kita lupa mengenainya dan tidak membuat apa-apa untuk mengelak pengulangan perkara sama pada masa akan datang. Ia adalah pandangan sempit yang membahayakan dan susah untuk difahami.”
Laporan tahunan pertama oleh Global Preparedness Monitoring Board terhadap kesediaan dunia untuk berdepan insiden kecemasan kesihatan yang diterbitkan pada September 2019, beberapa bulan sebelum penularan COVID-19, mengatakan dunia langsung tidak bersedia untuk berdepan pandemik yang berpotensi mengakibatkan kemusnahan.
“Sejarah memberitahu kita bahawa ini tidak akan menjadi pandemik yang terakhir dan epidemik merupakan sebahagian kehidupan,” kata Tedros.
“Pandemik ini menonjolkan hubungan rapat antara kesihatan manusia, haiwan dan bumi,” katanya.
“Sebarang usaha untuk menambah baik kesihatan manusia akan hancur melainkan mereka menangani masalah kritikal antara manusia dan haiwan serta ancaman perubahan iklim yang menyebabkan bumi kita tidak dapat dihuni,” katanya.
Pandemik COVID-19 sudah mengorbankan sekurang-kurangnya 1.75 juta orang dan hampir 80 juta kes dicatatkan sejak penularan wabak tercetus di China pada Disember tahun lalu.
“Dalam 12 bulan lalu, dunia kita sudah diterbalikkan. Impak pandemik melampaui penyakit itu sendiri, dengan kesan yang meluas membelenggu masyarakat dan ekonomi,” kata Tedros.
Bagaimanapun, bekas menteri kesihatan Ethopia itu berkata krisis pandemik COVID-19 tidak harus dilihat sebagai satu kejutan kerana ia sudah berulang kali diberi amaran.
“Kita semua mesti belajar daripada pengajaran yang dibawa pandemik ini,” katanya.