HomePoliticsPaip pecah lagi! Bekalan air di Klang, Shah Alam, Petaling terjejas

Paip pecah lagi! Bekalan air di Klang, Shah Alam, Petaling terjejas

Orang ramai menyimpan air selepas bekalan terputus di Klang, Shah Alam dan Kuala Langat pada Oktober lalu.

PETALING JAYA: Beberapa kawasan di Klang, Shah Alam dan Petaling sekali lagi mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual akibat paip pecah.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan memaklumkan, kejadian terbaru itu membabitkan paip utama di Bulatan Persiaran Tengku Ampuan di Seksyen 15, Shah Alam.

“Air Selangor harus menutup bekalan air mulai 1 tengah hari untuk memastikan kerja pembaikan dapat dilakukan dengan lancar.

“Penutupan ini akan menyebabkan gangguan air tidak berjadual di 58 kawasan di Wilayah Klang / Shah Alam dan 72 daerah di wilayah Petaling,” katanya.

Kerja pembaikan dijangka siap 9 malam ini dan bekalan air akan disalurkan semula sebaik selesai, dengan tempoh masa pemulihan bergantung kepada lokasi dan jarak pengguna.

“Pengguna disarankan menyimpan air secukupnya sebelum penutupan bermula, selain menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan,” kata Air Selangor.

Maklumat terkini akan dimaklumkan melalui semua saluran komunikasi.

Kejadian ini tidak sampai seminggu selepas gangguan bekalan air di Klang dan Shah Alam pada 20 Disember akibat paip pecah di Jalan Seruling 59 di Taman Andalas, Klang yang menjejaskan 12 kawasan.

Dua kejadian sama juga berlaku pada September dan Oktober, menyebabkan gangguan bekalan air ke pelbagai lokasi di Klang, Shah Alam, Kuala Langat dan Sepang.

Beberapa kawasan utama di Lembah Klang juga mengalami gangguan air tahun ini akibat pencemaran sungai, menyebabkan loji rawatan ditutup sementara.

Must Read

Related News