HomeNEWSPAC akan panggil bos SPRM bincang hala tuju perangi rasuah selepas laporan...

PAC akan panggil bos SPRM bincang hala tuju perangi rasuah selepas laporan TI

SPRM juga akan membentangkan laporan dan ulasannya terhadap laporan Barometer Rasuah Global Asia 2020 dikeluarkan Transparency International minggu lalu.

PETALING JAYA: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan memanggil Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki untuk membincangkan rancangan memerangi rasuah dan meningkatkan integriti pentadbiran awam negara.

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata, SPRM juga akan membentangkan laporan dan ulasannya terhadap laporan Barometer Rasuah Global Asia 2020 dikeluarkan Transparency International (TI) minggu lalu.

Selain SPRM, katanya, TI akan dipanggil untuk memberikan taklimat kepada PAC berhubung laporan itu.

Laporan TI itu mendapati 71% rakyat menganggap masalah rasuah dalam kerajaan ialah masalah besar dan 39% lagi berpendapat masalah rasuah meningkat dalam 12 bulan lalu.

Menurut laporan itu, 36% rakyat berpendapat Ahli Parlimen mereka korup, kadar ini lebih tinggi daripada Bangladesh (18%), Taiwan (17%), Myanmar (14%), Filipina (12%), China (11%), Kemboja (6%) dan Vietnam (6%).

Seramai 20,000 orang daripada 17 negara Asia terbabit dalam tinjauan TI itu, dengan tinjauan di Malaysia dilakukan antara Julai 2019 dan Jun 2020.

Hari ini, Wong berkata, PAC berpendapat statistik itu menunjukkan ketidakyakinan rakyat terhadap integriti pentadbiran awam dan anggotanya.

“Faktor yang menyumbang kepada situasi ini harus dikenal pasti dan usaha ke arah membanteras rasuah perlu
dipertingkatkan.

“Keberkesanan Pelan Pencegah Rasuah Kebangsaan (NACP) juga perlu dikaji memandangkan tempoh soal selidik laporan ini dalam tempoh pelaksanaan NACP,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Must Read

Related News