
PETALING JAYA : Kerajaan Pulau Pinang akan meneruskan projek Transit Aliran Ringan (LRT) walaupun kerajaan persekutuan menolak permohonannya mendapatkan pinjaman dan jaminan berjumlah RM2 bilion untuk membiayainya, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.
“Kerajaan Negeri ….tidak akan berputus asa, sebaliknya bakal meneruskan usaha melaksanakan projek LRT berkaitan (kerana) umumnya mempunyai beberapa opsyen kewangan lain bagi membiayai projek-projek di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP),” kata beliau dalam satu kenyataan.
Chow kesal kerana Kementerian Kewangan tiga kali menolak permohonan kerajaan negeri memperolehi pembiayaan itu menerusi pinjaman atau jaminan untuk projek LRT antara Komtar dan Bayan Lepas.
Beliau mengutuk keputusan kerajaan Perikatan Nasional tidak membantu menjayakan projek itu malah menolak persetujuan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad tahun lalu bahawa bon-bon kerajaan negeri berhubung projek itu akan dijamin Kerajaan Persekutuan.
Chow berkata Putrajaya seharusnya memberi keutamaan terhadap pembiayaan projek LRT serta memberi layanan setimpal kepada Pulau Pinang “yang telah dan terus memainkan peranan penting dengan menjuarai aspek pelaburan langsung asing (FDI) sektor pembuatan negara.”
Semalam, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, tidak ada persetujuan diberikan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) terhadap permohonan kerajaan Pulau Pinang untuk mendapatkan pinjaman asing bernilai RM2 bilion.
Justeru katanya, tidak timbul persoalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) menarik balik jaminan pinjaman untuk membiayai projek LRT itu.
Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng dan pemimpin DAP sebelum itu membidas Putrajaya kerana didakwa menarik balik jaminan kerajaan persekutuan ke atas pinjaman daripada Bank Pembangunan Asia (ADB).