
PETALING JAYA: Nama pendakwah selebriti yang ditahan atas tuduhan jenayah seksual, “trending” di Twitter hari ini apabila masih ada segelintir netizen mempertahankan lelaki berusia 25 tahun itu dengan menggunakan hashtag sebagai tanda sokongan.
Dilaporkan, lelaki itu menggunakan gelaran dan popularitinya untuk memperdaya mangsa.
Terdapat pelbagai reaksi daripada pengguna Twitter, apabila ada yang menyifatkan sokongan itu tidak seharusnya menjadi “trending” kerana seolah-olah menyokong pesalah seks.
Menerusi komen seorang pengguna Twitter dengan nama akaun @Sday-23, mempersoalkan mengapa hashtag sokongan terhadap pendakwah itu menjadi perhatian, sedangkan beliau terbabit jenayah rogol.
“Tak faham kenapa macam mana ada orang masih boleh mempertahankan dia sedangkan ada bukti dia memperdaya gadis”.
Terdahulu, media melaporkan seorang pendakwah muda dituduh menghantar “Direct Message” kepada pengikutnya dengan tujuan menarik perhatian wanita untuk keluar bersama dengan memberi pelbagai alasan sebelum melakukan serangan seksual.
Tempoh reman pendakwah selebriti itu disambung lima hari lagi bermula hari ini untuk membantu siasatan kes jenayah seksual termasuk rogol, seks luar tabii dan mencabul kehormatan mengikut Sekysen 377C, Seksyen 376, dan Seksyen 354 Kanun Keseksaan.