HomeNEWSMuhyiddin adakan PRU hanya jika ada yang ‘khianat’ dalam PN, kata Khalid...

Muhyiddin adakan PRU hanya jika ada yang ‘khianat’ dalam PN, kata Khalid Samad

Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad berkata hasrat Muhyiddin Yassin mengadakan pilihan raya tidak didorong oleh kepentingan hak rakyat tetapi untuk menangani risiko pengkhianatan dalam kerajaan pimpinannya.

PETALING JAYA: Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hanya akan bersetuju mengadakan pilihan raya umum (PRU) jika ia satu-satunya cara untuk menangani pengkhianatan dalam Perikatan Nasional (PN) terhadap pimpinannya, kata Khalid Samad.

Pengarah Komunikasi Amanah itu menolak kenyataan Muhyiddin bahawa beliau tidak sabar mengembalikan mandat rakyat dan mahu PRU diadakan sejurus pandemik Covid-19 berakhir.

“Sebagai seorang yang (telah) mengkhianati mandat rakyat, saya tidak yakin Muhyiddin begitu ambil berat berhubung persoalan mandat rakyat.

“Dia lebih takut dia akan dijatuhkan dengan dikhianati rakan sebagai dia telah lakukan,” katanya kepada FMT.

“Oleh itu, saya rasakan dia akan adakan PRU dengan membubarkan Parlimen apabila dilihat kemungkinan pengkhianatan itu semakin mungkin (berlaku),” katanya.

Semalam, Muhyiddin menegaskan kalau ikut hatinya “mungkin semalam lagi saya nasihatkan Yang di-Pertuan Agong supaya bubarkan Parlimen untuk membolehkan pilihan raya diadakan.”

Namun, realiti adalah PRU15 hanya boleh diadakan apabila pandemik Covid-19 berakhir, kata beliau semasa merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan ke-3 PPBM. Muhyiddin adalah presiden PPBM.

Kerajaan PN pimpinan Muhyiddin ditubuhkan Mac lalu, namun bergantung kepada sokongan pelbagai parti, termasuk Barisan Nasional, PAS dan Gabungan Parti Sarawak untuk mengekalkan majoriti rapuhnya di Dewan Rakyat.

Muhyiddin sentiasa dibayangi dengan cubaan pembangkang, khususnya Pakatan Harapan untuk menjatuhkan kerajaan manakala segelintar pemimpin Umno juga tidak sebulu dengan PPBM dan beliau sendiri.

Bagaimanapun, Muhyiddin menarik nafas lega Khamis lalu apabila memperoleh sokongan majoriti di Dewan Rakyat untuk Belanjawan 2021 peringkat dasar.

Dalam ucapannya semalam, Muhyiddin menegaskan tidak ada keperluan untuk Ahli Parlimen menolak Belanjawan 2021, hanya untuk mencetuskan PRU.

Menurut beliau, ini kerana beliau sememangnya bersedia mengembalikan mandat kepada rakyat untuk menentukan kerajaan pilihan mereka.

Must Read

Related News