HomeNEWSMereka sangat istimewa, jasanya sungguh luar biasa

Mereka sangat istimewa, jasanya sungguh luar biasa

Apabila menerima panggilan kecemasan, anggota bomba akan bergegas ke tempat kejadian.

PETALING JAYA: Setiap tahun mereka menerima ribuan panggilan kecemsan. Panggilan tersebut bukan sekadar mengenai kebakaran tetapi sejumlah besar adalah mengenai misi menyelamat haiwan peliharaan.

Anggota bomba menjalankan misi menyelamatkan seekor kucing. (Gambar Twitter @chinnfei)

Lihat sahaja berita yang menjadi tajuk utama baru-baru ini mengenai ahli bomba yang menyelamatkan anak kucing terperangkap dalam banjir kilat di Puchong.

Begitu juga dengan anggota di Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam yang saban hari menerima panggilan panik untuk membantu haiwan bermasalah. Tidak kiralah anak kucing, anjing atau burung, semuanya adalah haiwan peliharaan.

Tidak terkecuali panggilan mengenai ular yang bersembunyi di dalam rumah. Bagi kebanyakan kita, ular adalah haiwan yang paling menakutkan, tetapi buat anggota bomba, ia adalah sebahagian daripada tugas.

Syah Nizam menceritakan pengalaman menangkap ular.

“Ada cara yang khusus memegang ular terutama di kepalanya. Jika anda lakukan kesalahan, pastinya akan dipatuk. Tetapi secara jujur bagi kami anggota bomba, bagaimana takut pun sekali perasaan itu akan bertukar berani apabila menyarung pakaian seragam ahli bomba,” jelas Syah Nizam, ahli bomba berusia 27 tahun.

Bercerita mengenai kejadian menyelamat haiwan yang lain, Syah berkata dia teringat mengenai satu kejadian di mana mereka harus menyelamatkan seekor kucing dari tingkat 16. Ini bermakna mereka harus menjalankan misi menyelamat dari balkoni tingkat 15.

“Saya pernah menyelamatkan seekor kucing yang terperangkap di pemampat penghawa dingin. Saya terpaksa merayu dan terus merayu agar dia datang kepada saya. Dari begitu banyak kucing yang saya selamatkan, itulah satu-satunya kucing yang membuat saya seperti pengemis,” ujar Syah sambil ketawa.

Selain ular dan kucing, burung juga ada kisahnya. Mereka turut pernah diminta untuk menyelamatkan seekor burung botak yang terperangkap dalam jaring dan burung kakak tua yang enggan meninggalkan pokok.

“Ada seorang pemilik kedai haiwan telah membeli burung kakak tua dari luar negara. Apabila pemilik kedai ini ingin memberi makan kepada burung tersebut, ia terbang keluar dari sangkar dan bertenggek di pohon berdekatan.

“Berbagai cara kami lakukan agar dia terbang turun tetapi dia tetap enggan sehingga kami terpaksa memotong dahan tersebut. Nasib baik dia selamat walaupun dalam ketakutan,” ujar ahli bomba Nazrin Gabra, 29 tahun.

Walau bagaimanapun, Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Saiful Munir berharap rakyat Malaysia memahami betapa serius dan pentingnya tugas seorang anggota bomba itu.

Setiap hari mereka menerima pelbagai panggilan kecemasan yang melibatkan misi menyelamat termasuklah haiwan peliharaan. (Gambar Rawpixel)

“Saya masih ingat dan sedikit kecewa apabila mendapat panggilan kecemasan yang memerlukan anggota bomba untuk membantu kucing hamil melahirkan anak.

“Ya, kami memiliki unit Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS) tetapi mereka tidak berfunsgi sebagai pasukan vaterina,” katanya sambil menghela nafas panjang.

Saiful turut mengimbas pengalaman yang paling menakutkan semasa menerima panggilan kecemasan yang melibatkan anjing ganas pada pukul 10 malam. Pasukan mereka telah berusaha menghubungi pihak berkuasa yang berkenaan kerana tetapi mungkin sudah lewat malam, panggilan tersebut tidak diambil.

“Anggota bomba kami hanya memiliki peralatan untuk misi menyelamat tetapi tidak ada senjata penenang yang dapat membantu dalam kes itu. Tetapi saya tidak dapat mengabaikan panggilan itu.

Mereka pergi ke tempat kejadian dan berusaha menangkap anjing tersebut. Walaupun ada anggota yang digigit, pasukan bomba berkenaan berjaya mengalahkan anjing itu dan menangkapnya.

“Peristiwa itu agak menakutkan kerana salah seorang dari kami tercedera dan dibawa ke hospital. Sememangnya ada pihak berkuasa lain yang bertanggungjawab menangani kes seperti itu,” kata Saiful.

Selagi ada kewajaran, pasukan bomba sentiasa bersedia untuk membantu, tidak kira dalam keadaan apa sekali pun. Itulah pasukan bomba yang sering kita lupakan.

Terima kasih abang bomba, jasamu akan sentiasa kami kenang!

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Must Read

Related News