Menteri agama seru selebriti dakwah nasihat rakyat terima vaksin COVID-19

0
214
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Mohamad.

SEPANG: Selebriti ‘dakwah’ diseru senada dengan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam bersabit vaksin COVID-19 yang ditetapkan sebagai harus baru-baru ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Mohamad, menyeru mereka menggunakan kelebihan masing-masing bagi meyakinkan rakyat supaya tidak menolak vaksin itu.

“Kita nak semua senada sebab pandangan itu bukan pandangan saya, ini pandangan para ulama dan badan berautoriti, bukan semata-mata di Malaysia tapi rujukan umat seluruhnya (seperti) Al-Azhar.

“Alangkah baiknya kalau kita semua senada dengan badan-badan yang amat berautoriti yang telah buat kajian demi kajian – cukup teliti dan cukup mendalam,” katanya kepada pemberita selepas bertemu lebih 100 selebriti ‘dakwah’ di sebuah hotel di Sepang.

Zulkifli menyeru penggerak dakwah mengelakkan “berkhilaf” mengenai vaksin COVID-19 semasa mereka.

“Saya amat menghormati keilmuan sahabat-sahabat. Namun kita ada maslahah yang lebih besar iaitu melindungi rakyat daripada wabak ini,” tambahnya.

Adapun pandangan berbeza berkenaan vaksin, beliau menggesa ia disuarakan secara berhemah.

“Jika ada syor dan cadangan yang baik, kemukakan secara berhemah tapi bukan dalam ceramah atau di media sosial. Moga harmoni semuanya,” katanya.