HomeNEWSMembisu terhadap laporan TI, Kit Siang persoal ketua pesuruhjaya SPRM

Membisu terhadap laporan TI, Kit Siang persoal ketua pesuruhjaya SPRM

Veteran DAP Lim Kit Siang berkata SPRM mesti menjawab pemerhatian yang disebut dalam laporan Transparency International.

PETALING JAYA: Veteran DAP Lim Kit Siang menyelar sikap membisu Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki berhubung laporan Barometer Rasuah Global untuk Asia 2020 yang diterbitkan empat hari lalu.

Beliau mempersoalkan sekiranya sikap berdiam diri itu bermakna Azam berpuas hati dengan penemuan Transparency International (TI) yang menyebut bahawa 71% rakyat Malaysia beranggapan rasuah dalam kerajaan merupakan masalah besar, manakala 39% percaya masalah rasuah telah meningkat dalam tempoh 12 bulan lalu.

Dalam kenyataan, Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, SPRM mesti menjawab setiap pemerhatian yang disebut dalam laporan itu, misalnya 30% rakyat Malaysia merasakan kerajaan tidak melakukan yang terbaik dalam memerangi rasuah.

Beliau berkata, meskipun tahap kepuasan terhadap SPRM mencapai 74%, kebanyakan institusi penting dan individu, termasuk Ahli Parlimen, pegawai kerajaan, pemimpin agama, hakim dan majistret, eksekutif perniagaan, jurubank dan pemimpin tentera dilihat terlibat dalam amalan rasuah seperti yang dinyatakan dalam laporan berkenaan.

“Memandangkan esok, Parlimen akan menimbangkan Belanjawan 2021 untuk SPRM, ketua pesuruhjaya patut membentangkan laporan mengenai dapatan itu supaya Ahli Parlimen boleh membahaskan cadangan belanjawan.

Lim Kit Siang.

“Jika ia berbuat demikian, maka ia juga bermakna SPRM menunaikan tanggungjawabnya kepada Parlimen,” katanya.

Laporan TI meninjau 20,000 orang di 17 negara Asia dan kajian mengenai Malaysia dilakukan antara Julai 2019 hingga Jun 2020.

Dalam kenyataan yang dilampirkan bersama-sama dapatan itu, Presiden TI-Malaysia Muhammad Mohan berkata ,rakyat Malaysia masih sangat berharap.

“Jelas bahawa rakyat masih percaya kita boleh melawan rasuah dan tidak hilang keyakinan terhadap penguatkuasaan undang-undang dan perkhidmatan awam, walaupun pengalaman sebaliknya pernah dihadapi mereka.

“Jika kerajaan mahu memperbaiki imejnya dalam kalangan rakyat, ia perlu mengambil tindakan secara efektif. Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) perlu dilaksanakan dan dikuatkuasakan tanpa tangguh, pindaan, pelonggaran atau pusingan U,” katanya.

Must Read

Related News