HomePoliticsMangsa lemas di Terengganu ditemui terapung di tengah laut

Mangsa lemas di Terengganu ditemui terapung di tengah laut

Ketua Polis Daerah Marang Mohd Zain Mat Dris berkata, mayat mangsa ditemui pasukan penyelamat yang melakukan rondaan dengan jet ski dalam jarak satu kilometer dari pantai. (Gambar Bernama)

KUALA TERENGGANU: Mayat Wan Nashaifudin Wan Latif, 48, yang dikhuatiri lemas ketika mandi di Pantai Jambu Bongkok, akhirnya ditemui terapung di tengah laut pada 6.30 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Marang Mohd Zain Mat Dris berkata, mayat mangsa ditemui pasukan penyelamat yang melakukan rondaan dengan jet ski dalam jarak satu kilometer dari pesisir pantai.

“Pasukan penyelamat membawa mayat tersebut ke Pantai Rhu Kubur dekat Marang pada 8 malam dan adik mangsa mengesahkan bahawa mayat itu adalah Wan Nashaifudin.

“Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi.

Wan Nashaifudin, yang merupakan penghuni Pusat Jagaan Baitul Cakna Lelaki cawangan Kuala Berang di Hulu Terengganu, dikatakan mandi-manda di pantai itu Jumaat lepas bersama enam lagi rakannya dari pusat jagaan sama cawangan Jambu Bongkok.

Bagaimanapun keseronokan tujuh sahabat itu berakhir tragedi apabila mangsa dikhuatiri lemas pada 6.30 petang.

Must Read

Related News