HomeNEWSLelaki 71 tahun maut disamun, isteri cedera ditetak

Lelaki 71 tahun maut disamun, isteri cedera ditetak

Mangsa dipercayai diserang menggunakan senjata tajam berdasarkan kecederaan dialami di beberapa bahagian anggota badan.

PETALING JAYA: Seorang lelaki berusia 71 tahun maut akibat ditikam dalam kejadian samun di rumahnya di Bukit Bandaraya, Kuala Lumpur, hari ini.

Ketua Polis Daerah Brickfields Anuar Omar berkata, isteri mangsa yang berusia 70 tahun cedera di lengan kanan akibat ditetak dan dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan lanjut.

“Kejadian berlaku lebih kurang 3.30 pagi. Siasatan lanjut forensik di tempat kejadian mendapati mangsa dipercayai diserang menggunakan senjata tajam berdasarkan kecederaan dialami di beberapa bahagian anggota badan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, polis menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada orang awam.

Katanya, kes diklasifikasikan sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Polis masih melakukan siasatan lanjut dan usaha giat dijalankan untuk memburu dan mengesan suspek terlibat.

“Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh menghubungi polis di talian 03 22979222 untuk membantu siasatan,” katanya.

Must Read

Related News