PETALING JAYA: Kementerian Sumber Manusia menerima sebanyak 17,292 permohonan daripada 113 majikan untuk menggaji pekerja asing bawah Pelan Rekalibrasi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang diumumkan baru-baru ini.
Kementerian itu berkata, kerajaan tidak melantik pihak ketiga atau mana-mana vendor untuk mengurus pelan tersebut melalui Program Rekalibrasi Tenaga Kerja dan Program Rekalibrasi Pulang yang bermula 16 November hingga 30 Jun tahun depan.
“Pemantauan dilakukan dari semasa ke semasa bagi memastikan pelaksanaan Pelan Rekalibrasi PATI tidak dieksploitasi oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan hari ini.
“Kementerian memandang serius perkara ini dan akan menjalankan siasatan terperinci ke atas pihak yang mengambil kesempatan terhadap pelaksanaan pelan ini bagi mengelakkan berlaku manipulasi terhadap majikan atau PATI yang terlibat.”
Kementerian berkata, bawah Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981 (Akta 246), mereka yang disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM200,000, penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.
Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin pada 12 November mengumumkan, pelan itu adalah usaha antara kementerian itu, melalui Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Hamzah berkata, pembekuan pekerja asing baru ke Malaysia akan diteruskan. “Pelan ini adalah untuk PATI dalam negara ini yang mahu bekerja secara sah dan bagi mereka yang mahu pulang ke negara asal secara sukarela.”
Program Rekalibrasi Tenaga Kerja terbuka kepada majikan di sektor pembinaan, pembuatan, perladangan dan pertanian.
Ini akan menukar status PATI menjadi pekerja asing yang sah, yang digaji oleh majikan berkelayakan, dengan syarat ketat.
PATI boleh pulang ke negara asal mereka secara sukarela, tertakluk pada syarat yang ditetapkan, bawah Program Rekalibrasi Pulang.
Kerajaan dijangka mengutip sejumlah RM95 juta denda kompaun dan pembayaran lain yang dikenakan ke atas PATI dan majikan.