Lagenda bolasepak Namat Abdullah meninggal dunia

0
317

PETALING JAYA: Bekas ketua pasukan bolasepak negara, Namat Abdullah meninggal dunia petang tadi di kediaman anaknya di Kamunting Perak, setelah sekian lama menghidap kanser.

Beliau berusia 74 tahun.

Jenazah Allahyarham akan di kebumikan di tanah perkuburan Islam Sungei Petani Kedah esok pagi.

Di zaman gemilangnya, Namat terkenal di rantau Asia sebagai pemain pertahanan yang di segani oleh pasukan lawan.

Selain mewakili Pulau Pinang dari tahun 1965 hingga 1975, beliau mewakili negara 115 kali.

Kali terakhir beliau menyarung jersi kebangsaan adalah pada Kejohanan Uangtahun Jakarta 1975.

Terkenal dengan sifat kepimpinan dan displin tinggi di padang dan luar padang, Namat pertama kali mewakili Malaysia pada Pesta Bolasepak Merdeka 1968.

Malaysia menjuarai kejohanan itu dengan menewaskan Burma (sekarang Mynmar) 3-0.

Pengunduran M. Chandran – seorang lagi ikon bolasepak negara – pada tahun 1972 selepas kejohanan Olimpik di Munich menyaksikan Namat dipilih ketua pasukan baharu negara.

Awal tahun ini, susulan laporan FMT mengenai keadaan Namat yang semakin uzur, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mengatur untuk beberapa sahabat lama bekas bintang itu untuk mengunjungi beliau di Taiping.

Antara yang melawatnya adalah adik-beradik Abdah dan Yunus Alif, Soh Chin Aun dan Ahmad Yusof.