HomeNEWSKumpulan majikan minta penjelasan berkait arahan saringan Covid-19

Kumpulan majikan minta penjelasan berkait arahan saringan Covid-19

Kerajaan berkata, pekerja asing di Selangor dan Negeri Sembilan perlu menjalani ujian saringan Covid-19 mulai semalam.

PETALING JAYA: Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) bimbang dengan arahan kerajaan berhubung ujian saringan Covid-19 ke atas pekerja asing yang tidak jelas dan mengelirukan pekerja serta majikan.

Mengulas pengumuman Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob minggu lalu berhubung pekerja asing di Selangor dan Negeri Sembilan perlu menjalani saringan Covid-19 mulai semalam, Pengarah Eksekutif MEF, Shamsuddin Bardan berkata, Putrajaya memberikan arahan bercanggah.

“Pada mulanya dilaporkan semua pekerja asing dalam negeri di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) perlu buat saringan segera.

“Bagaimanapun, kemudian diumumkan pula hanya pekerja asing di zon merah di Klang dan Seremban yang perlu menjalani saringan itu.

“Kemudian, tiba-tiba diumumkan pekerja asing di Selangor dan Negeri Sembilan yang perlu buat saringan, diikuti pekerja di negeri lain bawah PKPB.

“Bilakah sebenarnya saringan perlu dibuat di negeri lain di bawah PKPB?”

Pada 27 Nov lalu, Ismail dilaporkan berkata, fasa pertama melibatkan 100,000 ujian saringan ke atas pekerja asing dan majikan perlu membuat janji temu dengan klinik kesihatan swasta untuk mengelakkan kesesakan.

“Ia akan bermula 1 Dis di Selangor dan Negeri Sembilan, diikuti pekerja di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Sabah dan Labuan,” katanya sambil menambah kos saringan akan ditanggung Perkeso dan majikan yang pekerjanya mencarum Perkeso.

Katanya, majikan boleh menuntut subsidi RM60 daripada Perkeso untuk setiap pekerja yang disaring. Tetapi, subsidi itu hanya terpakai untuk saringan pertama dan kos ujian seterusnya akan ditanggung majikan sepenuhnya.

Presiden Persekutuan Pengilang Malaysia, Soh Thian Lai, berkata FMM belum menerima maklum balas negatif daripada ahlinya mengenai proses saringan itu.

“Ia terlalu awal untuk mengulas proses sebenar kerana baru saja bermula pada Selasa selepas garis panduan dikeluarkan Perkeso sehari sebelumnya.”

Namun, Soh membangkitkan kebimbangan mengenai kapasiti klinik dan hospital untuk menangani saringan banyak itu.

“Oleh itu, kami menyarankan saringan dibuat di premis kilang, jika tempat kerja boleh menampungnya dan jika klinik terlibat mempunyai sumber untuk mengerahkan kakitangan, terutama membabitkan syarikat dengan ramai pekerja asing.”

Must Read

Related News