
PETALING JAYA: Qatar dan Arab Saudi hampir mencapai perjanjian awal untuk menamatkan perselisihan menyebabkan kedua-dua negara Teluk itu memusuhi antara satu sama lain selama lebih tiga tahun, kata sumber kepada Al Jazeera.
Ia berlaku selepas penasihat Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, Jared Kushner tiba di rantau Teluk itu untuk menyelesaikan krisis berkenaan sebelum kerajaan Trump meninggalkan Rumah Putih pada Januari.
Lawatan Kushner termasuk mengadakan pertemuan dengan Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed Salman di Riyadh, awal minggu ini dan Emir Qatar Sheikh Tamim Hamad Al Thani di Doha pada Rabu.
Pada Rabu, Wall Street Journal (WSJ) memetik pegawai AS menyatakan, fokus utama rundingan itu bagi menyelesaikan perbalahan berhubung penerbangan Qatar dibenarkan melintas ruang udara Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Bloomberg melaporkan pada Rabu, perjanjian itu tidak akan melibatkan UAE, Bahrain dan Mesir yang bersama dengan Arab Saudi membentuk gabungan untuk menentang Qatar.
Pada Jun 2017, gabungan itu memutuskan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan Qatar serta mengenakan sekatan darat, laut dan udara terhadap negara Teluk itu.
Negara terbabit juga mendakwa Qatar menyokong keganasan dan mempunyai hubungan rapat dengan Iran.
Qatar menafikan dakwaan itu dan menegaskan ia bersedia mengadakan dialog.
Gabungan terbabit menyenaraikan 13 pra syarat untuk menarik balik sekatan terhadap Qatar, termasuk menghentikan Rangkaian Media Al Jazeera.