HomePoliticsKrisis keyakinan di Kementerian Pengangkutan?

Krisis keyakinan di Kementerian Pengangkutan?

Beberapa bulan kebelakangan ini saya melihat ada beberapa keputusan yang dibuat oleh pihak Kementerian Pengangkutan yang mencerminkan kepincangan dan tidak memihak kepada kecekapan dan urus tadbir yang baik dalam menangani isu-isu penting negara.

Kepincangan ini bermula dari isu kontrak KVDT2 (Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa 2) yang melibatkan landasan jalan keretapi KTMB yang dibatalkan oleh pihak kementerian berkenaan. Saya tidak akan memberi sebarang komen di sini kerana kes ini sekarang berada di mahkamah untuk pengadilan.

Cuma ada desas-desus yang menyatakan Jemaah Menteri telah dibekalkan dengan maklumat yang kurang tepat yang membolehkan kementerian tersebut membuat keputusan membatalkan kontrak tersebut. Sejauh mana kebenaran desas-desus ini, saya kurang pasti.

ECRL

Ini serupa juga dengan keputusan penukaran Jalinan untuk landasan ECRL. Jalinan ini, yang masih dalam perancangan di peringkat akhir pada suatu waktu dulu, ialah melalui arah selatan, melalui Negeri Sembilan, dengan satu jalur ke Putrajaya dan seterusnya ke Pelabuhan Klang.

Keputusan ini dibuat semasa kerajaan Pakatan Harapan memerintah dengan tujuan untuk menurunkan kos projek yang dianggap terlalu tinggi pada waktu itu. Negara akan jimat sebanyak RM20 billion sekiranya jalinan selatan yang baharu ini diterima pakai.

Malang sekali Kementerian Pengangkutan tidak beranggapan begitu.

Projek landasan keretapi ECRL mesti mengutamakan permintaan pembangunan serta kepentingan ekonomi wilayah dan bukannya memihak kepada permintaan politik semata-mata.

HSR

Baru-baru ini kita juga dikejutkan dengan satu lagi keputusan yang agak janggal dari Kementerian Pengangkutan, iaitu tentang “High Speed Rail” (Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura) atau ringkasnya HSR yang cuma akan berakhir di Johor Bahru.

Projek yang dijangka menelan belanja berbillion ringgit ini, yang direncanakan sejak 2010 lagi, juga tidak mempunyai asas-asas yang kukuh untuk diimplementasikan sepenuhnya. Dolak-dalik dari pihak berkuasa ternyata dipenuhi dengan keraguan dan kelemahan yang pelbagai.

Tiada gunanya projek berbillion, sekiranya lapangan terbang antarabangsa dan syarikat penerbangan kita hancur musnah akibat perancangan yang tidak rapi, dan banyaknya kelemahan asas yang belum ditangani.

Kementerian Pengangkutan sendiri kurang yakin dan tidak pasti dari banyak segi, termasuk jalinan asas, jumlah stesen, jumlah penumpang dan harga tambang. Perubahan asas jaringan dan terminus akhir perjalanan memberi gambaran tiada keyakinan wajar dan telus dalam keputusan yang dibawa ke Jemaah Menteri.

Feri Pulau Pinang

Satu lagi keputusan Kementerian Pengangkutan yang pada pandangan umum, adalah tidak cekap dan bercelaru ialah tentang atau feri di Pulau Pinang.

Umum mengetahui feri ini satu bentuk mod pengangkutan yang telah lama berfungsi, memberi kesenangan, kemudahan, malah keselamatan juga dalam bentuk yang agak unik dengan unsur “heritage” yang menarik dan bernilai tinggi untuk pengguna tempatan dan juga pelancong.

Persoalan utamanya ialah kenapa dan mengapa, pihak Kementerian Pengangkutan membuat keputusan untuk mesti menamatkan perkhidmatan yang telah lama berfungsi ini dan menggantikanya dengan sesuatu yang baharu tetapi amat terhad dalam bentuk perkhidmatannya?

Feri yang dicadangkan tidak lagi mengangkut kereta atau motosikal seperti apa yang beroperasi sekarang. Sedangkan permintaan penduduk di sekitar Butterworth dan George Town adalah dalam bentuk sebegini, selain dari pejalan kaki, basikal, dan pengguna bas.

Apakah tiada kajian terperinci yang dijalankan untuk mendapatkan maklum balas pihak pengguna?

Cadangan untuk tidak lagi memberi ruang dan perkhidmatan kepada pihak pemilik kereta, teksi, motosikal dan basikal ini, dengan alasan mereka boleh menggunakan jambatan untuk menyeberang, adalah amat dangkal, berfikiran sempit, dan sama sekali tidak berasas.

Keputusan sebegini memberi erti bahawa pihak berkuasa bersikap sombong, bongkak, amat kejam, dan tidak prihatin langsung terhadap permintaan masyarakat setempat.

Masyarakat masih memerlukan ruang dan perkhidmatan feri yang amat sederhana dengan kos perkhidmatan yang serupa.

Mereka tidak perlu pembaharuan yang mewah dan canggih, feri berhawa dingin, dan lebih laju. Tidak dalam bentuk pergantian, tetapi mungkin sebagai tambahan perkhidmatan atau jalur alternatif. Apakah ini semua tidak difikirkan oleh menteri berkenaan atau pegawai beliau?

Ramai pihak berpendapat bahawa feri yang ada sekarang tiada sebarang kecacatan atau kecelaan yang perlu diganti. Ditambah baik, mungkin. Yang nyata, feri sekarang tidak memberi kesan negatif walaupun dalam keadaan pandemik seperti yang dialami buat masa ini.

Banyak kebaikan yang diperolehi dengan memberi kontrak kepada syarikat pembinaan perkapalan tempatan untuk mereka bentuk semula feri dari jenis yang sama seperti yang ada sekarang, dengan fungsi-fungsi yang serupa iaitu membawa kenderaan kereta, teksi, motosikal, basikal, dan pejalan kaki.

Ini yang masih diperlukan sekarang dan di masa-masa akan datang: bukan “water taxi” atau “water bus” yang cuma membawa pejalan kaki.

Pelabuhan Klang

Pihak kementerian juga tidak dapat menangani masaalah “congestion” di terminal kontena pelabuhan yang sudah lama berlarutan.

Walaupun cadangan demi cadangan telah banyak dikemukakan tentang mengadakan lorong ekspres sebagai laluan makanan impot negara, namun perkara ini belum terjadi.

Kelambatan dan ketidakupayaan pihak berkuasa untuk bertindak dalam keadaan yang meruncing seperti sekarang, mengakibatkan kerugian yang banyak kepada pengimpot barangan makanan.

Apa ertinya menjadi pihak berkuasa, sedangkan masaalah harian seperti ini tidak dapat ditangani? Kapal-kapal yang menunggu di luar perairan Pelabuhan Klang juga menanggung kerugian atas dasar pengurusan yang tidak cekap ini.

Tuduhan rasuah

Malah apa yang lebih membingungkan komuniti perkapalan dan logistik di negara ini, ialah apabila pegawai-pegawai tinggi kementerian dan agensi di bawahnya ditangkap atas tuduhan rasuah baru-baru ini.

Ini amat tidak meyakinkan komuniti yang banyak berurusan dengan agensi dan kementerian berkenaan.

Enam masalah utama yang disebutkan diatas, memberi gambaran seolah-olah terdapat krisis keyakinan di kementerian berkenaan termasuk agensi-agensi bawah kawal selia Kementerian berkenaan.

Yang nyata, sebarang keputusan yang dibentuk, tidak banyak memihak kepada kesejahteraan rakyat seperti apa yang dilaungkan oleh pihak kerajaan. Ini memberi gambaran bahawa kementerian ini tidak prihatin terhadap masalah-masalah masyarakat setempat dan rakyat amnya.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Must Read

Related News