Kempen SAFE2SPA Jom Spa rancakkan semula industri spa tempatan

0
217

PUTRAJAYA: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melancarkan Kempen Safe2Spa Jom Spa, bermula hari ini sehingga 31 Mac 2021 sebagai usaha memulihkan dan merancakkan semula industri spa tempatan yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

MOTAC dalam satu kenyataan menyatakan, sebanyak 10,000 baucar diskaun bernilai RM30 setiap satu akan diedarkan kepada pelanggan, di semua spa serta pusat urut kaki di bawah seliaan Persatuan Spa Malaysia (AMSPA) dan Persatuan Kesihatan dan Spa Malaysia (MAWSPA), sempena kempen tersebut.

“Pelanggan layak menebus atau menikmati potongan diskaun RM30 dengan perbelanjaan minimum RM60 ringgit ke atas dalam satu resit transaksi,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu menyebut, sekiranya usaha itu berjaya mencapai matlamatnya, kementerian akan terus memberi suntikan agar industri spa terus dapat diperkasakan.

Pada masa sama, MOTAC menyeru semua pengusaha industri spa dan kesihatan supaya sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan sentiasa mempraktikkan pendekatan norma baharu.