PETALING JAYA: Presiden Amanah Mohamad Sabu menggesa semua sekutu Pakatan Harapan (PH) untuk memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Anwar Ibrahim meskipun kegagalan gabungan itu memastikan Belanjawan 2021 ditolak Dewan Rakyat pada peringkat dasar Khamis lalu.
Pemuda DAP semalam menggesa parti itu untuk keluar dari PH sekiranya Anwar tidak memohon maaf atas keputusannya menolak undi belah bahagi diadakan bagi menentukan sokongan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat Khamis lalu.
Keengganan Ketua Pembangkang itu memberikan ‘lampu hijau’ kepada Ahli Parlimen PH untuk menuntut undi belah bahagi akhirnya menyaksikan Belanjawan 2021 diluluskan di peringkat dasar oleh Dewan Rakyat menerusi undi suara.
Meskipun demikian, Mohamad yang lebih dikenali Mat Sabu memberi ketetapan untuk terus memberi sokongan padu kepada Anwar dan menggesa semua pihak dalam gabungan itu turut berbuat demikian.
Selain Amanah, PH dianggotai oleh PKR pimpinan Anwar dan DAP.
“Hubungan kita dengan PH, khususnya dengan Anwar, adalah hubungan lama sejak 20 tahun lalu, sama-sama bersusah payah dalam perjuangan yang sama.
“Ianya mesti dipertahankan di sebalik semua pihak mempunyai kelemahan masing-masing yang boleh diperbaiki. Yang lebih utama bagi kita ialah kesatuan dan persahabatan,” kata beliau.
Mat Sabu berkata setiakawan amat penting dalam politik dan menjadi kunci kepada perjuangan.
“Apabila kita bergabung, untuk berpisah adalah sukar. Kita sentiasa mencari titik persamaan dan melupakan perbezaan silam dan ianya membuahkan kejayaan. Begitulah halnya apabila kita bekerjasama dengan PKR pimpinan Anwar,” tambah beliau.