
Hari Kedua: Cabaran bermula – dari Raub ke Cameron Highland
Hari kedua, masing-masing nampak bertenaga, ceria untuk memulakan cabaran seterusnya. Perjalanan sejauh 147 km dengan pendakian 2,100 km dari Raub ke Sungai Koyan ke Tanah Rata, itu jadualnya.

Mengisi perut di pekan Raub untuk sarapan pagi, roti canai mamak sudah cukup tak perlu banyak untuk memulakan hari.

Selepas sarapan, kayuhan pun bermula menuju ke Sungai Koyan. Cantiknya pemandangan, disulami kabus sepanjang perjalanan. Cuaca dingin mengigit-gigit tubuh namun, nyamannya terasa hingga minda menjadi tenang.

Sambil menghayati keindahan alam, tumpuan pada kayuhan tidak dilekakan. Kiri kanan jalan dipenuhi kawasan kelapa sawit, jalan agak beralun dan kami berkayuh dalam satu peloton (kumpulan).
Makin lama, jalan semakin kecil dan agak merbahaya terutama apabila berselisih dengan lori kelapa sawit. Rasa takut pasti ada namun kayuhan diteruskan sehingga ke hujung jalan.

Berkayuh hampir dua jam lebih iaitu sepanjang 53 km, kami akhirnya sampai ke pekan kecil Sungai Koyan. Di sini, kami mengisi perut untuk makan tengahari sambil itu “refill” air dan sedikit makanan untuk kayuhan seterusnya kerana di sepanjang jalan nanti tidak ada kedai maka, bekalan air perlu mencukupi.
Mengambil semula tenaga, kami kemudian memulakan perjalanan ke Tanah Rata. Di sini cabaran bermula, dengan beban beg tambahan 3 kg, kekuatan dan semangat perlu ada.

Perjalanan sejauh 80 km ke Tanah Rata bermula, masing-masing mengayuh perlahan namun dalam 10 km pertama peloton berpecah. Ada rakan yang sudah jauh ke hadapan, ada pula yang masih di belakang.
Aku cuba mengejar Syed Ikhsan, rakan yang telah jauh di hadapan. Memecahkan kumpulan, biar berdua jangan berseorangan, takut sebarang musibah cuba dielakkan.
Kayuhan laju namun kelibat Syed Ikhsan tidak pula kelihatan. Rakan-rakan yang lain memang sudah tidak nampak bayang di belakang.

Beberapa minit kemudian, baru jelas nampak sahabat tetapi tiba-tiba rasa tak sedap, ‘hajat kecil’ pula yang datang. Lebih malang waktu itu kayuhan mendaki bukit, hanya Tuhan yang tahu rasa bergolak.
Namun, hajat kecil tidak boleh ditahan lagi. Perumahan orang asli aku tuju, menumpang untuk melepaskan ‘hajat’ di hati. Terima kasih penduduk orang asli yang ramah dan mesra sekali.
Berhenti sebentar menunggu yang lain, namun bayang masing-masing tidak pula kelihatan.

Teruskan perjalanan itu yang terbaik, melalui bukit yang semakin tinggi dan kayuhan menjadi semakin perlahan. “Gear” diringankan bagi memudahkan kayuhan agar tidak “cramp”.
Dalam pada itu, baru nampak Syed Ikhsan di seberang bukit. Lega hati dan kayuhan kami teruskan berdua.
Perjalanan 5 km ke Ringlet agar mencabar, bukit bertambah tinggi dan pendakian semakin sukar. Kayuhan begitu perlahan, kaki terasa lembik dan perut makin berkeroncong.

Kami sampai ke Ringlet sewaktu asar, di situ kami berhenti di sebuah kedai untuk “top-up” air dan sedikit makanan sebelum memulakan kembali perjalanan.
Dalam 15 km kayuhan, kami sampai ke Tanah Rata dan di sini pendakiannya lebih mencabar. Jalan berliku-liku dan hujan mula turun sehinggalah sampai ke Tanah Rata dalam 6.30 petang. Hujan makin lebat, kami berdua berhenti di pekan Tanah Rata dan mengisi perut lapar di sebuah kedai makan.
Dari berlapan tinggal berdua, doa kami tidak putus agar yang lain selamat dalam perjalanan. Sehinggalah kami mendapat panggilan dari salah seorang rakan yang mengatakan dia dan seorang lagi sahabat telah sampai ke hotel yang jaraknya 3 km dari kedai makan tersebut.
Tidak tahu nasib rakan yang dua lagi, kami kemudian menolak basikal ke hotel dalam hujan lebat kerana untuk mengayuh agak merbahaya berikutan jalan ke sana adalah menuruni bukit, apatah lagi dalam keadaan hujan lebat.
Bagi memberi semangat, aku dan Syed Ikhsan menyanyi sambil menolak basikal dalam hujan lebat, agak dramatik.
Kami kemudian, sampai ke pekan Tanah Raya selepas azan Maghrib. Syukur, kami selamat sampai ke hotel.
Empat lagi rakan masih lagi tiada khabar, namun mereka juga selamat sampai walau agak lewat. Ada yang menumpang kereta
dan ada yang terus mengayuh hingga ke atas.

Alhamdulillah, kayuhan hari kedua penuh dengan cabaran dan satu pengalaman bernilai untuk kami simpan hingga ke akhir hayat.
Jumpa di siri akhir, kayuhan bersama Bash: 3 hari 2 malam ke Cameron Highlands.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]