Jawatankuasa muzakarah: Vaksin COVID-19 harus, wajib diambil golongan ditetapkan kerajaan

0
257
(Gambar AP)

PETALING JAYA: Mesyuarat khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam mengambil ketetapkan hukum penggunaan vaksin COVID-19 adalah “harus” dan “wajib” diambil golongan yang ditetapkan kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zulkifli Mohamad, dalam kenyataan berkata, penggunaan vaksin bagi melindungi manusia daripada dijangkiti penyakit berbahaya bukanlah perkara asing dalam perspektif syarak.

“Ini terbukti, kaedah pencegahan melalui vaksinisasi dapat dilihat dalam enam keputusan yang mengharuskan penggunaannya oleh Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan daripada 1988 hingga 2013,” katanya.

Zulkifli berkata di peringkat antarabangsa, institusi-institusi fatwa dunia seperti Al-Azhar Al-Sharif memfatwakan keharusan penggunaan vaksin.

“Ini kerana, pihak kerajaan dituntut memutuskan sesuatu keputusan yang paling mendatangkan maslahah kepada keseluruhan rakyat, setelah menimbangtara faktor-faktor yang pelbagai serta setelah mendapatkan pandangan- pandangan daripada pihak-pihak yang berkepakaran dan juga berautoriti,” katanya.

Zulkifli menyeru kepada seluruh rakyat terutamanya umat Islam untuk patuh dan memberi kepercayaan penuh kepada pihak kerajaan dalam menangani penularan pandemik COVID-19 menerusi penggunaan vaksin.

Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan menandatangani perjanjian dengan syarikat farmaseutikal, AstraZeneca, bagi memperoleh 6.4 juta dos vaksin COVID-19, iaitu tambahan 10% lagi kepada bekalan vaksin yang bakal diterima negara.

Ini bermakna kerajaan kini memperoleh keseluruhan jaminan bekalan sebanyak 40%, termasuk menerusi dua perjanjian yang dimeterai sebelum ini dengan COVAX dan Pfizer.

Menerusi perjanjian yang ditandatangani dengan COVAX dan Pfizer, Malaysia dijadualkan menerima bekalan yang meliputi 30% rakyat.

Kerajaan sebelum ini mensasarkan untuk memastikan liputan vaksin kepada 70% rakyat.

Perdana menteri berkata melalui semua rundingan dan perjanjian yang telah dan akan dimeterai setakat ini, kerajaan akan membelanjakan keseluruhan USD504.4 juta (RM2.05 bilion).