IWK selenggara sistem pembetungan awam di Kelantan mulai 1 Jan 2021

0
168
Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man (dua, kanan) bersama Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob (dua, kiri) menyaksikan penyerahan dokumen memorandum persefahaman antara Kelantan Utilities Mubaarakan Holding Sdn Bhd dengan Indah Water Konsortium Sdn Bhd. (Gambar Bernama)

KOTA BHARU: Perkhidmatan penyelenggaraan sistem pembetungan awam di Kelantan kini diserahkan kepada kerajaan persekutuan melalui Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) yang akan bermula pada 1 Jan 2021, kata Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata persetujuan kerajaan negeri Kelantan menerusi Majaari Services Sdn Bhd (Maajari) menyerahkan sistem pembetungan kepada IWK adalah bagi memastikan perkhidmatan yang lebih teratur, malah dapat dirancang serta dilaksanakan dengan cekap di negeri itu.

“Penyerahan sistem pembetungan awam di Kelantan ini juga bertujuan untuk menyeragamkan operasi perkhidmatan pembetungan di seluruh negara.

“Di samping itu, ia juga bagi memastikan air sisa kumbahan yang dirawat mencapai tahap piawaian tinggi, khususnya dalam usaha pemuliharaan sumber air serta alam sekitar,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan penyerahan kontrak antara dua syarikat terbabit yang ditandatangani pengarah eksekutif Majaari Wan Zawawi Wan Ismail dan ketua pegawai eksekutif IWK Narendram Maniam.

Turut hadir Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob serta timbalannya, Mohd Amar Nik Abdullah.

Tuan Ibrahim juga berkata, melalui penyerahan itu, sebanyak 33 loji rawatan kumbahan awam serta 13 stesen pam akan diselenggara IWK, selain menyediakan perkhidmatan menyahenap cemar kepada kira-kira 81,275 tangki septik individu serta 259,343 tangki tradisional di seluruh Kelantan.

“Penyerahan ini juga akan membuka ruang kepada penglibatan lebih signifikan kerajaan persekutuan dalam memodenkan sistem pembetungan di negeri ini.

“Kementerian Alam Sekitar dan Air telah mengenal pasti pembangunan sebuah loji rawatan kumbahan berpusat di Tunjong yang bernilai lebih setengah bilion dalam Rancangan Malaysia Ke-12.

“Dana akan turut disalurkan bagi kerja-kerja membaik pulih loji dan rangkaian paip pembetungan yang uzur untuk memastikan rakyat Kelantan terus menikmati perkhidmatan yang berkualiti,” katanya.

Sementara itu, Ahmad berkata langkah menyerahkan sistem pembetungan kepada kerajaan pusat dapat membuka peluang baharu kepada kontraktor tempatan untuk bekerjasama dengan IWK melalui projek yang bakal dilaksanakan pada masa depan.

Terdahulu, satu memorandum persefahaman (MoU) turut dimeterai antara IWK dan KUM bagi merancang kolaborasi, termasuk dalam usaha memberi perkhidmatan teknikal, menjalankan aktiviti tanggungjawab sosial korporat di Kelantan serta pelaksanaan bil bersepadu dengan Air Kelantan Sdn Bhd.