HomeNEWSItu pandangan peribadi, kata pemimpin DAP mengenai desakan Anwar mohon maaf

Itu pandangan peribadi, kata pemimpin DAP mengenai desakan Anwar mohon maaf

Naib Pengerusi DAP Perak Abdul Aziz Bari menyifatkan kenyataan Setiausaha Pemuda DAP, Teh Hoong Keat adalah perkara baisa. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Seorang pemimpin DAP berkata desakan supaya Presiden PKR Anwar Ibrahim memohon maaf kepada penyokong Pakatan Harapan (PH) adalah pandangan peribadi, bukan mewakili parti itu atau pandangan Pemudanya.

Naib Pengerusi DAP Perak Abdul Aziz Bari berkata, kenyataan peribadi dibuat Setiausaha Pemuda DAP, Teh Hoong Keat, disifatkan perkara biasa dan mendakwa pemimpin kecil PKR juga pernah membuat kenyataan sama.

“Sebelum ini pun ada pemimpin kecil PKR buat kenyataan sama. Tak usahkan DAP, dalam DAPSY pun ini bukan sikap rasmi,” katanya kepada FMT.

Jumaat lalu, Teh menggesa Anwar bertanggungjawab sepenuhnya dan meminta maaf kepada penyokong PH kerana mengarahkan Ahli Parlimen PKR dan DAP untuk tidak melakukan pengundian belah bahagi ketika bacaan kedua Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat.

Teh juga mahu pemimpin pusat parti itu memutuskan hubungan dengan PKR dan membubarkan PH sekiranya Anwar masih menganggap keputusannya tepat.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Ronnie Liu Tian Khiew berkata, kenyataan Teh cuma salah faham seperti kebanyakan pihak lain yang menganggap Belanjawan 2021 sudah lulus sepenuhnya.

Adun Sungai Pelek itu menganggap kenyataan pemuda DAP itu kerana terkejut, kecewa dan marah.

“Sebenarnya, Belanjawan 2021 belum lulus (di peringkat jawatankuasa). Jadi, bila marah dan kecewa, dia rasa tidak mahu pakat dengan PKR kerana merasa perlu ikut keputusan salah.

“Saya rasa salah faham situasi. Dia rasa PKR sudah tidak ikut semangat PH,” katanya.

Ronnie berkata, sebagai pandangan orang muda, Teh hanya menunjukkan ketidakpuasan hatinya.

“Kalau faham, Belanjawan 2021 tidak lulus kerana paling penting pusingan akhir.

“Selain pusingan akhir, pembangkang masih ada untuk menyuarakan apa yang betul dan apa tidak betul, dan apa yang harus ditolak dan apa harus diterima. Itu cara yang betul hadapi Belanjawan,” katanya.

Ronnie berkata, Teh tidak patut dipersalahkan.

“Ramai tidak tahu ada proses bacaan satu, dua dan tiga. Hanya ADUN dan Ahli Parlimen tahu. Ramai ingat 26 November itu pusingan akhir Belanjawan 2021,” katanya.

Must Read

Related News