Follow kami di Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Buat julung kalinya, Anugerah Ikon Sukan (AIS) Harian Metro dilancarkan bagi mengiktiraf pencapaian setiap atlet dan pentadbir sukan dijadualkan berlangsung pada Januari 2023 di TV9
AIS pada julung kalinya diadakan bakal memberi peluang kepada pembaca Harian Metro serta orang ramai untuk mengundi ikon sukan kegemaran dan berpeluang untuk merebut hadiah lumayan.
Selain daripada mengiktiraf atlet yang telah mengharumkan nama negara, malam AIS akan diselitkan dengan elemen santai termasuklah persembahan artis dan sitkom daripada pelawak terkenal tanah air.
Menurut Pengarang Berita Kanan (Sukan & Hiburan) Harian Metro, Abdul Manan A Samad, AIS pada kali ini berkonsepkan 60 peratus elemen sukan dan 40 peratus hiburan.
Image via Harian Metro
“Mungkin orang akan tanya apa kelainan AIS ini dengan anugerah sukan lain. Sebagai pihak penganjur, kita cuba buat anugerah dengan berkonsepkan sukan dan hiburan.
“Jadi untuk menarik perhatian peminat sukan tanah air, kita gabungkan konsep sukan dan hiburan.
“Supaya dengan cara ini kita dapat memupuk dan membudayakan sukan dalam kalangan peminat sukan tanah air, itu cara kami di pihak media,” ujarnya.
Image via Harian Metro
Jelas Manan yang merupakan Pengarah Jawatankuasa AIS, pihaknya akan mengadakan dua jelajah bagi tujuan mempromosikan AIS dan turut bekerjasama dengan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB).
“Program sampingan kita akan ada dua jelajah, satu di KL (Kuala Lumpur) dan satu lagi kemungkinan kita akan buat di Johor Bharu.
“Itu antara program sampingan dan kita akan berkolaborasi dengan YAKEB untuk membantu lima bekas atlet yang tidak bernasib baik.
“Kita akan pergi ke rumah lima atlet yang tak bernasib baik itu, dan video mereka kita akan siarkan semasa malam anugerah itu nanti,” kongsinya.
Penganjuran AIS adalah detik bersejarah bagi Harian Metro yang menjangkau usia 31 tahun
Dalam pada itu, Pengarang Kumpulan Harian Metro, Hussain Jahit berkata penganjuran AIS adalah detik bersejarah bagi Harian Metro yang menjangkau usia 31 tahun dan mengiktiraf pencapaian para atlet yang telah mengharumkan nama Malaysia.
“Harian Metro buat julung kalinya menganjurkan AIS bertujuan untuk mengiktiraf pencapaian atlet yang mengharumkan nama negara, seterusnya menjadi inspirasi kepada atlet lain termasuk memastikan kita sentiasa ada pelapis dalam setiap acara sukan pada masa depan,” katanya.
Image via Harian Metro
Penganjuran AIS ini bertujuan untuk menyemai budaya sukan yang sihat dan berdaya saing dalam kalangan rakyat Malaysia. Di samping itu, ia dianjurkan untuk menyuntik semangat dan sokongan rakyat terhadap ikon sukan negara, sekali gus bersama-sama memainkan peranan dalam memastikan industri sukan negara terus berdiri kukuh dan melakar kejayaan yang lebih gemilang.
“Salah satu tujuan AIS diadakan adalah untuk mencari atlet yang boleh menjadi ikon kepada generasi muda akan datang. Ketika persatuan sukan berdepan dengan masalah untuk mencari pelapis baru, ikon sukan mampu memupuk minat anak muda agar aktif dalam bidang sukan sekali gus menjadi atlet negara pada masa akan datang.
“Disebabkan itulah undian ini kita buat dua bahagian, yang pertama 100 peratus daripada peminat atau orang luar, selepas disenarai pendek sebanyak lima calon setiap kategori barulah undian di bahagikan 50 peratus dengan pihak juri profesional,” katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita ‘mesti kongsi’ sekarang!
Image via SAYS Seismik