HomeNEWSGraduan berbasikal jual ‘teh masala’

Graduan berbasikal jual ‘teh masala’

Kelibat Kavie atau Tea Thambi, sentiasa kelihatan di jalanan Brickfields mengayuh basikal menjaja teh masala.

KUALA LUMPUR: Setiap hari dia akan mengayuh di sekitar Brickfields dari jam 3.30 petang hingga 6.00 petang, dengan sarat membawa tong minuman serta roti dan kudapan. Sesekali dia berhenti dan melayan pelanggan yang ingin merasai jualannya.

Kavievanan Subramaniam, 23, bukan pemuda biasa. Dia sebenarnya seorang graduan yang tiada pekerjaan tetapi telah ‘jatuh cinta’ dengan kerjaya sebagai ‘penjaja teh masala’ dengan hanya menggunakan sebuah basikal.

Kavie, menyediakan teh masala.

Pada awalnya, lulusan kejuruteraan ini sukar mendapatkan pekerjaan, apatah lagi sewaktu pandemik Covid-19 melanda, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pula dilaksanakan.

Kavievanan atau lebih mesra di panggil Kavie kemudian memutuskan untuk meneruskan minat awalnya iaitu menjadi usahawan.

“Sejujurnya saya tidak pernah berminat untuk menjadi jurutera. Saya selalu bermimpi akan menjadi usahawan,” katanya sambil menambah bahawa dia ingin memulakan perniagaan sendiri setelah habis menduduki peperiksaan SPM,” jelas pemuda dari Cheras ini.

Seperti kebanyakan ibu bapa lain, kedua orang tua Kavie lebih mengharapkan anak bujang mereka itu memperolehi ijazah terlebih dahulu.

Kavie, dari seorang penganggur kini, menjalankan perniagaan teh.

Menurut Kavie, dia adalah seorang penggemar teh yang tegar dan dalam sehari dia mesti mendapatkan minuman tersebut. Sewaktu PKP, dia mula terfikir bagaimana cara untuk menghilangkan kebosanan sekaligus memikirkan perniagaan yang sesuai buatnya.

“Saya mahu mencuba sesuatu yang berbeza. Saya telah membeli basikal lebih awal hanya untuk bersiar-siar sekitar bandar. Bila berfikir mungkin inilah peluang tepat yang harus saya gunakan iaitu menjual teh dengan berbasikal secara mudah alih,” ujar pemuda yang baru-baru ini viral di media sosial sebagai “Tea Thambi”.

Menganggur dan bosan duduk di rumah semasa PKP, Kavie memutuskan untuk menjual teh masala dengan basikal seperti yang dilakukan oleh penjual teh di India.

“Tentulah perkara yang paling saya takut adalah cara untuk menyampaikan berita ini kepada ibu bapa. Mereka tentulah inginkan saya mencari pekerjaan dalam bidang kejuteraan.

“Jadi saya siapkan semua barang untuk berniaga secara rahsia. Apabila saya benar-benar bersedia dan punyai keberanian barulah saya beritahu mereka. Syukurlah, mereka menerima dan memberi restu kepada saya,” ujar Kavie lagi.

Kavie menyediakan teh menggunakan ramuan resepi rahsianya.

Katanya, teh masala ini adalah resepi yang diajar oleh ibunya. Dia kemudian mengolah hingga berpuas hati dengan hasilnya.

“Ini resepi rahsia,” ujar Kavie sambil tersenyum.

Kavie membancuh 20 liter teh masala setiap hari sebelum ke Brickfields.

Pada bulan Mei, dia memulakan usaha perniagaannya dan mulai mengayuh di Brickfields menjual teh masala.

Pada mulanya sukar, kata Kavie, menjelaskan bahawa orang enggan membeli teh dari seorang pemuda yang menjual minuman dari basikal. Tetapi dia tidak pernah mengalah malah sentiasa mengingatkan dirinya bahawa kegigihan akhirnya akan terbayar.

Lama-kelamaan rasa takut berubah menjadi rasa ingin tahu dan orang mula bertanya tentang produknya. Sekali teguk dan mereka terpikat.

“Pada awal dulu, saya bermula dengan 12 liter. Sekarang saya membawa hingga 20 liter iaitu kira-kira 100 cawan teh,” katanya.

Setiap hari, dia akan berada berdekatan bank Hong Leong di Brickfields dari jam 3.30 petang hingga 4.30 petang dan kemudian dia akan mengayuh ke tempat lain pula sekitar Brickfields untuk menjamu dahaga pelanggan-pelanggan lain yang sedia menunggu.

Kavie meletakkan basikal dan barang-barangnya di tempat biasa di Brickfields.

Anda juga boleh membawa botol minuman sendiri dan Kavie dengan senang hati akan mengisinya dengan teh masala.

Kavie menggantung roti dan kudapan pada pemegang basikalnya.

Sambil minum teh, pelanggan juga boleh berselang-seli dengan biskut atau roti yang juga dijual Kavie. Dibeli dari pemborong, bahan makanan ini disimpan dalam plastik yang digantung pada pemegang basikalnya.

Menurutnya, perniagaan yang pada awalnya tidak dapat diramal kerana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, kini, setelah berita tentang “Teh Thambi” menjadi viral di media sosial, dia dibanjiri dengan panggilan dari ramai pelanggan yang berminat.

Peningkatan jualan ini mendorong Kavie untuk memajukan perniagaannya ke tahap yang seterusnya.

“Senang mendapat banyak sokongan tetapi saya hanya akan berasa gembira apabila telah menjadi usahawan yang berjaya,” ujarnya.

Teh masala Kavie menarik pelanggan dari semua kaum dan peringkat usia.

Dia sekarang sedang bercita-cita untuk merombak basikalnya agar kelihatan lebih “vintage” dan menambah lebih banyak jenis teh bagi memenuhi citarasa ramai pelanggan.

Dia juga ingin memulakan francais “Tea Thambi” di mana lebih ramai pengusaha dapat belajar cara membuat tehnya dan memasarkan produk menggunakan kaedah yang sama.

“Saya sudah mempunyai teman yang menjual teh masala yang sama dengan berbasikal di Jalan Masjid India,” katanya kepada FMT.

Menghantar Teh Masala kepada pelanggan tetapnya.

Sekiranya anda ingin merasa teh masala Kavie, anda boleh bertemunya di Brickfields setiap hari dari jam 3.30 petang hingga 6.00 petang atau boleh sahaja menghubunginya untuk membuat pesanan.

Tea Thambi @ Brickfields
Hubungi: 018-390 0171

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Must Read

Related News