KUALA LUMPUR: Google hari ini meraikan pelakon, penyanyi dan ikon fesyen kelahiran Singapura-Malaysia yang dikenali sebagai Saloma.
Beliau merupakan bintang filem yang popular sekitar tahun 1950-an hingga 1980-an. Saloma juga telah merakamkan lebih 500 buah lagu dan dari hasil lakonan filemnya yang berkarismatik dia telah membuka jalan bagi generasi pelakon wanita di negaranya.
Pada tarikh 26 Nov 1978, beliau telah melakar sejarah apabila dianugerahkan gelaran Biduanita Pertama Negara di Malaysia.
Saloma atau Salmah Ismail dilahirkan di Singapura pada 22 Jan 1932 dan beliau amat meminati dunia nyanyian semenjak kanak-kanak lagi. Beliau mula menyanyi pada usia tujuh tahun dan mula menyanyi secara profesional di usia remaja. Saloma kemudian memulakan karier muziknya melalui persembahan di kelab malam dan majlis perkahwinan.
Pada pertengahan tahun 50-an, Saloma kemudian beralih ke dunia lakonan dan dengan cepat menjadi tokoh selebriti.
Pada tahun 1961, Saloma berkahwin dengan rakan seninya, P. Ramlee dan selama bertahun-tahun berikutnya pasangan lagenda ini telah mengubah dunia hiburan di Malaysia melalui karya muzik dan filem, kata Google dalam satu kenyataan.
Dengan fesyen rambut yang unik dan rekaan pakaian istimewanya (kebanyakannya dijahitnya sendiri), Saloma membintangi pelbagai filem sepanjang tahun 60-an dan mengeluarkan album seumur hidupnya.
“Terima kasih Saloma kerana menggunakan karya seni anda untuk memberi inspirasi kepada wanita Malaysia,” kata Google.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]