HomeNEWSGokilan warisi hobi bapa menyimpan 2,000 piring hitam

Gokilan warisi hobi bapa menyimpan 2,000 piring hitam

S. Gokilan bersama piring hitam peninggalan bapanya. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: 2,000 keping piring hitam bersaiz kecil dan besar miliki mendiang bapanya Sathasivam Singaram, masih tersimpan baik dan kini S. Gokilan, 42 pula mewarisinya.

Gokilan, yang merupakan Pengarah Urusan Heritage Gtour Sdn Bhd berkata, bapanya mempunyai hobi yang unik iaitu menyimpan piring hitam dan kesemua koleksi tersebut masih berkeadaan baik sehingga saat nafasnya yang terakhir.

“Piring hitam tersebut dari era 1970-an hingga 1980-an dari pelbagai penyanyi Tamil, Hindi, Inggeris, Melayu, Cina dan Jepun. Bapa mengumpul koleksi ini sewaktu zaman remajanya. Mula-mula dia simpan piring-piring hitam yang kecil, kemudian dia simpan koleksi piring hitam yang besar pula. Ketika itu harga sekeping piring hitam kecil RM2.50 dan besar RM3.50 sekeping,” ujar Gokilan.

Menurutnya lagi, bapanya yang lahir pada 2 Mac 1945 dan meninggal pada 9 Mac lalu, amat minat mengumpul piring hitam dan kebanyakan koleksi piring hitam itu adalah lagu-lagu dari wayang-wayang sekitar tahun akhir 1930-an hingga 1980-an.

“Antara koleksi lagu dalam piring hitam milik mendiang Sathasivam ialah lagu Tamil, oleh M.K.Thyagaraja Bhagavathar merupakan penyanyi dari India Selatan sekitar tahun 1940-an, Kamal Haasan dan SP Bala Subramaniam. Bagi koleksi lagu Melayu ialah lagu pop ABC nyanyian Hail Amir, Rafeah Buang, Sanisah Huri, Dahlan Zainuddin serta kumpulan Alleycats,” katanya dan menambah terdapat juga lagu-lagu Inggeris dari Elvis Presley, lagu Jepun dan juga Cina.

Kata Gokilan, selain piring hitam, bapanya turut menyimpan koleksi pita video sebanyak 5,000 keping dan cakera padat 5,000 dan secara keseluruhan koleksi bapanya itu mencecah 12,000 koleksi termasuk piring hitam.

Tambahnya sepanjang hayat bapanya, lelaki itu sangat menjaga rapi koleksi piring hitam miliknya dan akan membersihkan piring-piring itu serta akan memutar lagu untuk didengar, agar ia terus terpelihara dan berada dalam keadaan baik.

Berkongsi kisah hobi mendiang bapanya itu, Gokilan juga tidak menyangka ia menjadi tarikan beberapa pihak ketika mula-mula memuatkan koleksi simpanan bapa itu yang digelar ‘Koleksi Sada’ dalam ruangan Facebook kira-kira dua minggu yang lalu.

“Selepas memuatkan video dan juga gambar Koleksi Sada ini, ramai kawan yang menghubungi, ada yang dari Jepun yang meminta saya agar tidak membuang koleksi ini, kerana katanya barangan ini sangat berharga. Rakan saya dari Jepun itu memberitahu selepas tidak lagi ada sekatan perjalanan dan semuanya berakhir (CODIV-19), beliau mahu datang ke Malaysia dan mengambil piring hitam ini,” katanya.

Selain itu Gokilan berkata terdapat rakannya dari persatuan sejarah di Amerika Syarikat yang turut menyatakan minat untuk membeli kesemua piring hitam itu.

“Semasa diberitahu, saya hairan juga kenapa dia mahu membeli benda-benda lama ini nak buat apa, rupanya rakan saya itu yang merupakan broker di sana, gemar membeli barangan lama di Asia dan kemudiannya dijual di muzium di Amerika Syarikat.

“Begitu juga dengan seorang lagi rakan saya seorang arkitek yang merupakan konsultan untuk hiasan dalaman, beliau kata piring hitam ini akan dijadikan hiasan untuk rumah orang-orang kenamaan dan juga kedai makan yang amat menyukai warisan,” katanya.

Bagaimana pun Gokilan berkata beliau tidak berhasrat untuk menjual kesemua piring hitam koleksi bapanya itu dan kemungkinan hanya akan menjual sebahagian sahaja, berikutan tiada ruang yang besar untuk menyimpan koleksi piring hitam bapanya.

Katanya, sesiapa yang berminat untuk mendapat sebahagian piring hitam itu akan dijual dengan harga RM5 sekeping sehingga 31 Dis ini.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Must Read

Related News