Elak ‘matlamat halal semua cara’ dalam politik, kata ketua penerangan Umno

0
420
(Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan berkata, kuasa politik penting, tetapi tidak sehingga matlamat menghalalkan semua cara, ketika pemimpin parti itu mempertimbangkan penubuhan kerajaan gabungan di Perak.

Beliau yang tidak mahu membuat spekulasi berhubung keadaan di Perak, berkata pendirian Naib Presiden Umno yang juga ketua Umno Bahagian Bera, Ismail Sabri Yaakob untuk tidak bekerjasama dengan PKR atau DAP kekal sama dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi dan Perhimpunan Agung parti itu.

“Bagi saya, pendirian tegas tersebut bukan hanya terpakai di Bera kerana ia adalah soal dasar parti. Melainkan ada perubahan dasar yang dipersetujui, pendirian itu tetap kekal,” katanya dalam catatan di Facebook berhubung taklimat isu semasa di Bera dan Kuala Lipis.

Beliau berkata, ahli Umno mengharapkan penamat harmoni seperti yang digambarkan dalam kenyataan Setiausaha Agungnya, Ahmad Maslan kelmarin yang menggesa PPBM dan PAS terus bersama Umno untuk mengekalkan kerajaan negeri pimpinan Perikatan Nasional, serta tiada keperluan untuk penjajaran politik lain.

Ini kerana, katanya, integriti dan prinsip ialah dua aspek terpenting dalam politik.

“Tanpa dua ramuan ini, kawan, lawan, dan rakyat tidak akan ada keyakinan lagi kepada apa yang kita cakap.

“Kalau sampai suatu waktu orang tak percaya lagi apa kita cakap dan pejuangkan, apa lagi modal naratif yang kita nak bawa?

“Apa lagi sumber kredibiliti kita di mata pengundi, termasuk ahli kita sendiri apatah lagi pengundi muda atas pagar?” soalnya.

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi pada Ahad dilaporkan tidak menolak kemungkinan ia akan bergabung dengan beberapa parti lain, termasuk Pakatan Harapan untuk membentuk kerajaan Perak yang baru, selepas kerajaan negeri pimpinan Ahmad Faizal Azumu tumbang.

Faizal hilang sokongan majoriti di Dewan Undangan Negeri pada Jumaat lalu, selepas 48 Adun tidak menyokong dan seorang berkecuali berbanding hanya 10 wakil rakyat yang menyokong usul undi percaya terhadapnya.

Zahid dilaporkan berkata, keutamaan Umno ialah mengekalkan jajaran dan kerjasama politik terdahulu, iaitu kerjasama bersama Muafakat Nasional dan PN, namun apa juga tindakan parti itu mesti bertapak pada realiti.

“Maka satu pendekatan baru akan diambil oleh Umno dan BN (Barisan Nasional) bagi membentuk kerajaan baru.

Tetapi ia akan mengambil kira semua pertimbangan politik agar kerajaan yang terbentuk lebih kukuh dukungannya,” katanya pada Ahad.