HomeNEWSDua bekas pemimpin PKR Sarawak sertai PSB

Dua bekas pemimpin PKR Sarawak sertai PSB

Bekas pemimpin PKR Sarawak Abang Aditajaya Abang Alwi dan Abdul Raafidin Majidi menyertai Parti Sarawak Bersatu, kata parti itu di Sibu. (Gambar Facebook)

SIBU: Dua bekas pemimpin PKR hari ini menyertai Parti Sarawak Bersatu (PSB) bersama kira-kira 6,000 penyokong dari kawasan Dewan Undangan Negeri Kuala Rajang dan Semop.

Presiden PSB Wong Soon Koh berkata, dengan sokongan kuat seumpama itu, bekas pengerusi jawatankuasa penaja PKR Tanjung Manis Abang Aditajaya Abang Alwi dan bekas ketua PKR Sibu Abdul Raafidin Majidi masing-masing boleh menjadi calon PSB dalam pilihan raya negeri (PRN) ke-12 di Kuala Rajang dan Semop.

“Diharapkan apabila tiba masanya (pilihan raya negeri), rakyat akan memberi sokongan kepada kedua-duanya untuk menjadi wakil mereka.

Saya yakin kedua-dua mereka akan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di kawasan ini,” katanya pada sidang media di sini.

Wong berkata, adalah tidak benar PSB hanya menerima sokongan daripada masyarakat Dayak.

“Mengikut komposisi demografi, sudah tentu lebih ramai orang Dayak menyertai PSB daripada mana-mana bangsa, memberikan gambaran seperti PSB tidak dapat banyak sokongan daripada masyarakat Melayu/Melanau.

Sebenarnya, kami mempunyai sokongan kuat daripada semua komuniti, termasuk Melayu/Melanau seperti di Lingga, Muara Tuang, Kabong, Asajaya, Tellian, Balingian, Bekenu, Lambir Saribas, Bukit Kota, Sebuyau dan Demak Laut,” katanya.

Selain daripada mendukung misi dan wawasan PSB untuk membawa pembangunan yang lebih seimbang kepada rakyat Sarawak, Aditajaya dan Raafidin berjanji untuk memperjuangkan hak tanah adat bumiputera (NCR) di negeri ini.

“Saya sudah membuat keputusan dan bersetuju untuk menyertai sebuah parti tempatan Sarawak untuk meneruskan perkhidmatan saya kepada rakyat, mempertahankan dan mengembalikan hak rakyat,” kata Aditajaya.

“Keputusan ini (menyertai PSB) tidak dibuat secara terburu-buru. Selain daripada meneruskan apa yang saya perjuangkan dalam parti sebelum ini, terutamanya hal berkaitan tanah NCR, saya akan menumpukan pembangunan infrastruktur kepada rakyat di kawasan pedalaman, “ kata Raafidin.

Kedua-dua mereka kemudian menyerahkan borang keahlian PSB kepada Wong.

Must Read

Related News