@KesatuanPSHK (Twitter)
Menurut sumber, kemenangan kes tuntutan oleh pekerja itu menunjukkan bahawa tindakan majikannya, iaitu syarikat Edgenta UEMS yang merupakan kontraktor swasta untuk perkhidmatan pembersihan di hospital-hospital kerajaan di Utara Pantai Barat Semenanjung (Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis), yang menambahkan masa kerja sebanyak 1 jam setiap hari tanpa bayaran lebih masa (OT) itu adalah sesuatu yang tidak munasabah.
Menerusi ciapan yang dimuat naik oleh @KesatuanPSHK itu, pekerja pembersihan berkenaan, S. Logiswaran, telah memfailkan kes untuk tuntutan OT tidak dibayar tersebut di Pejabat Tenaga Kerja Sitiawan pada 25 Ogos 2020.
Masa kerja syif pekerja-pekerja ini pada asalnya mempunyai 3 syif iaitu 7 pagi hingga 3 petang, 3 petang hingga 11 malam dan 11 malam hingga 7 pagi, iaitu 8 jam setiap hari.
Namun, pihak syarikat Edgenta UEMS telah menambahkan masa kerja 1 jam setiap hari secara tiba-tiba tanpa persetujuan pekerja.
Terdapat lebih kurang 60 orang pekerja pembersihan yang bertugas di Hospital Seri Manjung, dan antaranya separuh ialah pekerja syif.
Logiswaran yang juga merupakan ahli Kesatuan Pekerja-pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan di Hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia (KPSPSHKSM) berkata, dia masih sentiasa menghadapi ‘gangguan’ daripada pihak pengurusan kerana keanggotaannya dalam kesatuan.
“Kesatuan kami ada lagi banyak kes perlu lawan. Kami masih sangat susah. Saya berharap kemenangani kes ini boleh menguatkan lagi kesatuan kami,” katanya.
V. Selvam, Pegawai Perhubungan Perusahaan yang mewakili kesatuan KPSPSHKSM, berkata, kes itu adalah mengenai tuntutan bayaran kerja OT bagi kerja syif yang telah ditambah sewenang-wenangnya oleh majikan Edgenta UEMS, dari 8 jam ke 9 jam setiap hari tanpa persetujuan pekerja.
Daripada keputusan kes itu, Makahmah Buruh dengan jelasnya telah menyatakan bahawa tindakan majikan Edgenta UEMS menambahkan waktu kerja sejam setiap hari tanpa persetujuan pekerja adalah salah.
Sementara itu, menurut L. Danaletchumi, seorang lagi Pegawai Perhubungan Perusahaan KPSPSHKSM, terdapat lagi pekerja-pekerja di 7 buah hospital yang memfailkan kes tuntutan OT tidak dibayar yang serupa.
“Kemenangan kes di Sitiawan ini boleh memberikan keyakinan kepada kes-kes yang lain, dan juga memperkasakan pekerja-pekerja pembersihan hospital yang lain untuk memperjuangkan hak mereka”
“Kami memohon pada rakyat Malaysia supaya terus menyokong perjuangan pekerja-pekerja hospital yang juga merupakan petugas-petugas barisan hadapan ini,” katanya.