HomeNEWSCukai durian runtuh pendekatan tidak berpandangan jauh, kata Chin Tong

Cukai durian runtuh pendekatan tidak berpandangan jauh, kata Chin Tong

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz berkata, cukai durian runtuh ke atas syarikat pembuat sarung tangan akan memberi isyarat salah kepada pelabur. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Liew Chin Tong dari DAP menolak idea cukai durian runtuh dikenakan ke atas syarikat pembuat sarung tangan, sekali gus menggesa syarikat terbabit supaya menggaji lebih ramai pekerja tempatan.

Liew berkata, adalah tidak adil untuk mengenakan cukai tambahan ke atas pembuat sarung tangan kerana pandemik Covid-19 berlaku di luar kawalan sesiapa dan mereka hanya “bernasib baik”.

“Sektor swasta yang berdaya maju memerlukan persekitaran pengawalseliaan yang stabil dan boleh dijangka. Cukai durian runtuh sama sekali berlawanan dengan hal tersebut,” kata senator parti itu dalam kenyataan hari ini.

Bekas menteri Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebelum ini menyarankan agar Putrajaya mengenakan cukai durian runtuh ke atas syarikat sarung tangan yang memperoleh keuntungan besar di tengah-tengah pandemik Covid-19.

Menjawab cadangan itu, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz berkata, cukai itu akan lebih merugikan daripada menguntungkan kerana ia akan memberi isyarat salah kepada pelabur.

Sebagai alternatif, Liew menggesa sektor pembuatan supaya mengurangkan pergantungan pada tenaga kerja asing dengan mengambil pekerja tempatan melalui “program ‘automasi dan Malaysianisasi’.”

“Dengan pendekatan memberi insentif kepada sektor pembuatan sarung tangan supaya mengautomasi, dan menjadikan pengambilan pekerja asing lebih mahal, kerajaan boleh mendorong industri sarung tangan untuk mencipta puluhan ribu peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha DAP Sabah Chan Foong Hin mempersoalkan pengecualian cukai keuntungan ke atas pembuat sarung tangan semasa pandemik, ketika industri kelapa sawit masih perlu membayar cukai.

“Industri itu secara keseluruhan baru sahaja akan pulih daripada situasi harga minyak sawit dan keuntungan rendah, malah kerugian dalam tempoh tertentu,” kata ahli Parlimen Kota Kinabalu itu.

Menyedari kekurangan bekalan pekerja asing dan banyak pemilik ladang terpaksa membelanjakan lebih banyak dana untuk langkah-langkah pencegahan dan kewaspadaan, Chan menggesa kerajaan supaya menangguhkan semua bentuk cukai durian runtuh ke atas sektor itu buat sementara waktu.

Ahli Parlimen Subang, Wong Chen menyuarakan sentimen sama, dengan berkata, kerajaan perlu memperluas dasar pengecualiannya kepada sektor kelapa sawit bagi memastikan pelaburan dan persekitaran cukai yang konsisten.

Beliau juga berkata pengenalan cukai baru boleh memberi impak negatif ke atas harga saham syarikat terbabit dan “menghakis” keyakinan pelabur terhadap negara ini.

Wong Chen berkata “solusi terhad” lain adalah untuk mengkaji dan menyesuaikan sistem cukai korporat 2 peringkat yang sedia ada bagi mengutip sebahagian daripada keuntungan luar biasa, dengan syarikat diberi notis wajar terlebih dahulu mengenai perubahan dalam dasar cukai.

Must Read

Related News