KOTA KINABALU: Puspakom Sdn Bhd (Puspakom) cawangan Sandakan akan ditutup bermula Isnin ini (30 Nov) sehingga ke tarikh yang akan diberitahu kelak berikutan seorang kakitangannya disahkan positif Covid-19.
Puspakom dalam kenyataan memaklumkan kakitangan berkenaan kini menjalani rawatan di sebuah hospital, manakala kesemua kakitangan lain akan disaring, selain proses pengesanan kontak rapat akan dilaksanakan.
“Mereka yang berhubung secara langsung dengan pesakit tersebut diarahkan menjalani kuarantin selama 14 hari,” menurut kenyataan berkenaan.
Puspakom berkata, pihaknya akan mendapatkan nasihat daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berkaitan kelonggaran pembaharuan permit untuk kenderaan yang tamat tarikh pemeriksaan dalam tempoh cawangan berkenaan ditutup.
“Bagi pelanggan yang mempunyai janji temu di Puspakom Sandakan, semua bayaran janji temu pemeriksaan yang dibuat akan dipulangkan secara automatik.
“Sebarang maklumat terkini akan dimaklumkan kepada pelanggan dari semasa ke semasa,”
Dalam perkembangan sama, Puspakom Kota Kinabalu yang sebelum ini ditutup seminggu susulan pandemik itu, beroperasi semula sejak semalam.