COVID-19 : Penjual nasi kandar disaman atas tuduhan cetus kluster Sivagangga

0
231
Nezar Mohamed Shabur Batcha sebelum ini dipenjara lima bulan dan denda RM12,000.

ALOR SETAR: Seorang penjual nasi kandar yang didakwa sebagai kes indeks kluster Sivagangga COVID-19 memberitahu mahkamah tinggi, dia bukan penyebab virus itu tersebar di Kubang Pasu Ogos lalu yang memaksa daerah itu diletakkan bawah perintah kawalan pergerakan (PKP) selama sebulan.

Pemilik restoran Nasi Kandar Nezar Mohamed Shabur Batcha, 57, berkata demikian dalam pembelaannya terhadap saman sivil bernilai RM1.5 juta difailkan beberapa perniagaan di Napoh, Kubang Pasu serta Persatuan Pengguna Kedah (CAKE).

Saman itu antara lain mendakwa kegagalan Nezar mematuhi kuarantin selepas kembali dari India menyebabkan perniagaan mereka terjejas teruk.

Dalam kenyataan pembelaan dilihat oleh FMT, Nezar berkata, hakikat bahawa dia disabit mengikut undang-undang kawalan penyakit tidak boleh digunakan terhadapnya dalam kes ini kerana sabitan itu masih di peringkat rayuan.

Dia turut merayu mahkamah menolak tuntutan itu dengan kos kerana perniagaan di Napoh dan CAKE tiada hak untuk menyamannya.

Nezar, penduduk tetap berkelahiran India, sebelum ini dipenjara lima bulan dan denda RM12,000 oleh mahkamah majistret. Beliau sudah selesai menjalani hukuman penjara itu serta membayar denda.

Dia turut mendakwa CAKE tiada hak dilantik sebagai wakil litigan kerana tiada peruntukan untuk perkara itu mengikut Peraturan Mahkamah 2012.

Mahkamah tinggi menetapkan 11 Jan untuk plaintif memfailkan hujah balasan.

Pada 19 Ogos, CAKE memfailkan saman terhadap Nezar bagi pihak pemilik perniagaan dan pekerja sekitar mukim Napoh serta Megat Dewa di Kubang Pasu.

Plaintif mendakwa terkesan akibat perintah kawalan pergerakan bersasar yang dikenakan di dua mukim berkenaan selepas Nezar melanggar kuarantin 14 hari apabila pulang dari Sivagangga di Tamil Nadu, India.

Seramai 45 orang dilaporkan dijangkiti daripada kluster Sivagangga itu.