
Bagi peminat nanas, mungkin sering mengalami masalah memilih nanas yang sudah ranum. Ini kerana kulitnya yang tebal sukar untuk dilihat dari warna luarannya sahaja.
Sebelum membeli nanas, ada beberapa perkara yang harus anda lihat untuk mengetahui tahap kematangannya. Tekstur, aroma dan berat adalah antara faktor yang sering dilihat bagi memastikan nanas cukup matang atau masak sepenuhnya.
Berikut ini adalah cara memilih nanas yang matang sempurna.
1. Lihat warnanya
Periksa warna nanas. Pilih yang memiliki daun hijau cerah dan sihat serta kelihatan segar. Bahagian kulit nanas pula mestilah memiliki corak kuning kehijauan, yang menandakan buahnya sudah cukup matang.
Ini adalah kerana warna kulit nanas akan berubah secara perlahan-lahan dari hijau menjadi kuning apabila sudah masak, dan berhenti matang setelah dipetik.
Hindari nanas yang mempunyai warna kulit oren tua, kerana nanas ini sudah terlalu masak.
Namun, terdapat jenis nanas yang sudah masak tetapi berkulit hijau. Oleh itu, penting untuk mempertimbangkan faktor lain selain warna untuk memilih nanas matang.
2. Sentuh teksturnya
Sama seperti buah-buahan lain, tekstur nanas boleh menjadi petunjuk utama bagi membantu menentukan apakah nanas sudah cukup matang.
Nanas yang matang harus miliki kulit yang padat tetapi sedikit lembut apabila disentuh. Nanas yang benar-benar padat atau keras apabila disentuh kemungkinan besar tidak matang sempurna.
3. Cium aromanya
Salah satu cara terbaik untuk mengetahui apakah nanas sudah matang dan siap untuk dinikmati adalah dengan mencium aromanya.
Nanas matang biasanya memiliki aroma manis apabila dicium pada pangkal buahnya. Jika nanas tidak berbau, mungkin nanas tersebut belum matang sepenuhnya.
Tetapi jika bau nanas sangat menyengat seperti aroma ‘pahit’, itu menandakan nanas mungkin terlalu masak.
4. Bandingkan beratnya
Memeriksa berat nanas juga adalah cara berkesan untuk membantu mengukur kematangan buah tersebut. Nanas yang terasa berat sering kali dianggap lebih matang.
Nanas yang berat juga menandakan bahawa ia lebih berair dan rasanya juga cenderung lebih manis dan enak.
5. Tarik daunnya
Cara selanjutnya untuk mengetahui tingkat kematangan nanas adalah dengan menarik dengan lembut daun besar yang menonjol dari bahagian atas nanas.
Bahagian tersebut akan mudah ditarik jika nanas sudah matang. Sebaliknya, jika sukar dicabut menandakan nanas tersebut belum masak sempurna.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]