Britain akan mengharamkan promosi “beli satu, dapat satu percuma” untuk makanan dengan kandungan lemak, gula atau garam yang tinggi serta isian semula minuman ringan bergula di restoran mulai April 2022.
Ia berikutan usaha kerajaannya menangani masalah obesiti sekaligus memperbaiki kesihatan awam secara am.
Obesiti adalah antara masalah kesihatan jangka panjang Britain, dengan hampir dua pertiga dewasa di England mempunyai berat badan berlebihan, manakala satu dalam tiga kanak-kanak sekolah rendah juga berlebihan berat badan atau obes.
Langkah itu turut menyekat sebarang promosi yang tidak sihat di pintu keluar, masuk atau lorong pasar raya. Namun, produk berkenaan boleh diiiklankan untuk promosi kedai.
“Kami menghadkan promosi selain memperkenalkan beberapa langkah untuk memudahkan pemilihan makanan yang sihat.
Mewujudkan persekitaran yang membantu orang ramai menikmati makanan yang lebih sihat dengan lebih kerap juga penting dalam memperbaiki kesihatan rakyat,” kata menteri kesihatan awam Jo Churchill.
Britain pertama kali mencadangkan promosi “beli satu, dapat satu percuma” untuk makanan rapu (junk food) pada Julai lalu, selain mengumumkan langkah lanjut seperti mengharamkan iklan dalam talian serta televisyen bagi makanan rapu sebelum jam 9 malam.
Bulan lalu, kerajaan bertindak lebih tegas lagi dengan mencadangkan larangan penuh bagi pengiklanan makanan tidak sihat dalam talian.
Berat badan berlebihan dilihat meningkatkan risiko penyakit berbahaya atau kematian akibat COVID-19, yang diketengahkan Perdana Menteri Boris Johnson. Malah, beliau turut mengakui perlu mengurangkan berat badan sejak dijangkiti virus berkenaan.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]