HomeNEWSBelanjawan lulus peringkat dasar bukti kematangan ahli Parlimen 2 blok, kata penganalisis

Belanjawan lulus peringkat dasar bukti kematangan ahli Parlimen 2 blok, kata penganalisis

Semalam, Dewan Rakyat meluluskan Belanjawan 2021 di peringkat dasar melalui undian suara, selepas sebahagian besar ahli Parlimen, termasuk pembangkang tidak menyokong cadangan undi belah bahagi.

KUALA LUMPUR: Penganalisis politik berkata, Belanjawan 2021 berjaya diluluskan di peringkat dasar membuktikan kematangan berpolitik ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Tetapi, mereka berkata, ia bukanlah gambaran kemenangan mutlak buat kerajaan atau pembangkang semakin lemah.

Bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia, Azmi Hassan berkata, kematangan lebih terserlah daripada pihak pembangkang, khususnya PKR dan DAP kerana bersetuju dengan undian suara.

“Dengan cara ini, tidak boleh ditunding ahli Parlimen PKR dan DAP tolak belanjawan. Kematangan juga dapat dilihat dalam kerajaan Perikatan Nasional kerana sanggup mengubah belanjawan untuk memenuhi tuntutan ahli Parlimen, terutamanya daripada Umno.

Azmi Hassan.

“Menteri kewangan sebenarnya mendengar keluh-kesah rakyat yang memerlukan bantuan kerajaan secara langsung dalam menghadapi tekanan ekonomi,” katanya kepada FMT.

Semalam, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 atau Belanjawan 2021 di peringkat dasar melalui undian suara, selepas sebahagian besar ahli Parlimen, termasuk pembangkang tidak menyokong cadangan undi belah bahagi.

Hanya 13 ahli Parlimen yang bangun menyokong cadangan Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) untuk undi belah bahagi diadakan berbanding syarat minimum 15 ahli Parlimen untuk menyokong cadangan itu.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya pula memuji pembangkang tidak menolak belanjawan secara terburu-buru untuk memberi ruang kepada kerajaan menambah baik kekurangan dan mengurangkan perbelanjaaan yang dilihat tidak bermanfaat kepada rakyat.

Awang Azman Pawi.

Tetapi, beliau tidak menafikan keputusan PN membuat penambahbaikan terhadap belanjawan kerana tidak mahu melihat kerajaan tumbang.

“Perlu diingat, kelulusan hari ini adalah bacaan ke-2, terdapat bacaan ke-3 yang memerlukan undi majoriti untuk lulus, inilah ‘final’ yang menentukan kedudukan kerajaan PN.”

Kamarul Zaman Yusoff dari Universiti Utara Malaysia berkata, kedua-dua blok menunjukkan kematangan dalam meluluskan belanjawan di peringkat dasar, apabila sanggup mengambil risiko dikecam penyokong sendiri, khususnya pembangkang.

“Kerajaan matang kerana sanggup terima teguran dan buat penambahbaikan, pembangkang matang kerana sanggup berdepan kecaman penyokong kerana tak tentang.

Kamarul Zaman Yusoff

“Begitupun, semua ini adalah politik belaka, kerajaan perlu mengalah untuk pastikan ia kekal memerintah, manakala pembangkang mengalah untuk pastikan ia tidak menerima persepsi negatif kerana menjadi penghalang bantuan sampai kepada rakyat dan akan dilabel ingkar titah Agong.”

Tiada kaitan Muhyiddin kuat, Anwar lemah

Ditanya jika kelulusan belanjawan di peringkat dasar menandakan ketua pembangkang, Anwar Ibrahim gagal menunjukkan sokongan majoriti ahli Parlimen yang didakwa diperolehinya sebelum ini, Azmi berkata, ia tiada kaitan dengan tahap sokongan diraih presiden PKR itu mahupun perdana menteri.

“Kelulusan RUU ini sebenarnya tiada kena-mengena dengan tanda sokongan kepada perdana menteri (Muhyiddin Yassin) kerana kita tidak tahu jumlah sebenar wakil rakyat yang menyokong RUU melalui undi suara, sebab itu juga undi ini tidak boleh dikaitkan dengan bentuk sokongan yang dimiliki Anwar.”

Azman yang sependapat, berkata kelulusan belanjawan dan sokongan untuk Anwar ialah 2 perkara berbeza kerana menyokong bajet tidak bermakna menyokong PN.

Kamarul Zaman berkata, kejayaan belanjawaan diluluskan tidak boleh dianggap tamparan buat Anwar atau kemenangan kerajaan kerana masih ada undian di peringkat jawatankuasa dan bacaan ke-3 yang akan menjadi penentu sebenar.

Must Read

Related News