HomeNEWSBelanjawan 2021: Pembangkang percaya PM tiada sokongan majoriti

Belanjawan 2021: Pembangkang percaya PM tiada sokongan majoriti

Semalam dua peruntukan iaitu bagi Kementerian Kewangan dan Jabatan Perdana Menteri bawah RUU Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa diluluskan.

PETALING JAYA: Pembangkang masih percaya Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin tidak mempunyai sokongan majoriti walaupun dua peruntukan kementerian dalam Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa diluluskan.

Ketua Whip Amanah Hasanuddin Mohd Yunus berkata, sokongan majoriti terhadap Muhyiddin tidak boleh diukur berdasarkan undian belah bahagi bagi dua kementerian semalam kerana ada Ahli Parlimen pembangkang yang tidak hadir.

“Pakatan Harapan (PH) ada nombor sebab ada rakan dari parti Warisan tidak dapat hadir kerana ada urusan lain.

“PH tidak berpecah dan bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad juga sanggup berdiri untuk sokong tolak Belanjawan 2021 peringkat jawatankuasa bagi kementerian,” katanya kepada FMT.

Semalam dua peruntukan iaitu bagi Kementerian Kewangan dan Jabatan Perdana Menteri bawah RUU Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa diluluskan.

Peruntukan itu diluluskan selepas mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, Hasanuddin yang juga naib presiden Amanah percaya PH boleh menolak Belanjawan 2021 berikutan terdapat ahli Umno yang tidak hadir pada undian belah bahagi semalam.

“Sebelah sana Ahli Parlimen Pekan (Najib Razak), Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Penasihat Umno Tengku Razaleigh Hamzah tidak hadir dalam undian belah bahagi.

“Apa maksudnya. Kita tak mengalah lagi dan masih nampak PH masih mantap,” katanya.

Hasanuddin berkata, ada 25 peruntukan kementerian lagi pada peringkat jawatankuasa selepas ini.

“Kita tak putus asa untuk betulkan Belanjawan 2021 bukan kerana dengki atau marah Muhyiddin dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Amanah Mahfuz Omar berkata, undian belah bahagi semalam menunjukkan Muhyiddin hilang kepercayaan.

Beliau berkata, ia selepas kejayaan Umno mendesak Muhyiddin akur tuntutan mereka dalam Belanjawan 2021 pada peringkat dasar.

“Perubahan diumumkan dalam penggulungan belanjawan peringkat dasar memenuhi dua tuntutan besar dibuat Umno dan BN.

“Dia (Muhyiddin) bukan gambarkan keprihatinan kerajaan pada rakyat sebab kalau prihatin pada rakyat daripada awal pembentangan bajet boleh dibuat,” katanya.

Mahfuz berkata, Muhyiddin tunduk dengan tuntutan Umno kerana takut hilang kuasa politik.

“Ini satu kejayaan bagi Umno untuk jadikan Muhyiddin tunduk pada mereka,” katanya.

Katanya, soal PH tidak cukup sokongan tidak menjadi isu kerana semua sudah mengetahuinya.

“Tetapi Muhyddin mengalami pengurangan sokongan,” katanya.

Must Read

Related News