Bayi ditikam bapa ditempatkan bawah jagaan JKM

0
149
Ketua Polis Daerah Subang Jaya Abd Khalid Othman berkata, bayi itu masih dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik Hospital Kuala Lumpur dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

KUALA LUMPUR: Bayi perempuan berusia 18 bulan yang parah ditikam bapanya dalam kejadian di sebuah flat di Puchong Permai, Subang Jaya, Sabtu lalu kini berada bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Abd Khalid Othman berkata, bayi itu masih dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik Hospital Kuala Lumpur, dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Khalid berkata, siasatan lanjut mendapati kejadian berlaku akibat tekanan dialami suspek kerana berpisah dengan isterinya iaitu ibu mangsa lalu, selain pengaruh dadah.

“Bekas isteri suspek sudah dikenal pasti dan dimaklumkan mengenai kejadian itu. Walaupun sudah bercerai tetapi wanita berkenaan (bekas isteri suspek) dilaporkan masih berhubung dan tinggal berdekatan rumah nenek mangsa,” katanya ketika dihubungi.

Dalam kejadian 4.30 petang itu, lelaki berkenaan dipercayai menikam perut bayi perempuannya menggunakan sebilah pisau pemotong roti.

Suspek berusia 27 tahun ditahan tidak lama selepas kejadian dan direman lima hari hingga Khamis ini, untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah.