
JOHOR BAHRU: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor meminta media di negeri ini melaporkan sesuatu kejadian pencemaran seperti di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang dengan lebih bertanggungjawab bagi memastikan tindakan dapat dilakukan dengan lebih berkesan.
Pengarahnya, Dr Famey Yusoff berkata, aduan atau laporan berita sesuatu kejadian pencemaran yang tidak lengkap dan terperinci menyebabkan kesukaran bagi agensi penguat kuasa seperti JAS mengambil tindakan dan melakukan pemantauan.
Beliau merujuk laporan eksklusif sebuah stesen televisyen tempatan semalam yang melaporkan penduduk kawasan sekitar jajaran Sungai Kim Kim mendakwa masih menghidu bau gas dipercayai berpunca dari sungai berkenaan.
“Saya teliti laporan berita berkenaan dan ia tidak menyatakan lokasi jelas, Sungai Kim Kim itu bukan sepanjang 2 meter, berkilometer panjangnya.
“Laporan seperti ini membuatkan saya dan kakitangan seperti ‘mencari jarum dalam jerami’.
“Setakat pemantauan yang dibuat (JAS Johor), tidak ada bau yang ketara dikesan, jadi di mana yang dikatakan bau gas berkenaan,” katanya kepada FMT, hari ini.
Mengikut laporan itu, hasil tinjauan dan temu ramah, beberapa penduduk di kawasan Pasir Gudang mendakwa mereka masih dapat menghidu bau gas, terutama pada waktu malam.
Pencemaran kimia berbahaya di Sungai Kim Kim pada 7 Mac tahun lalu menggemparkan negara selepas beberapa murid dan pelajar sekolah pengsan tiba-tiba, di samping mengalami gejala pening, loya dan muntah-muntah.
Insiden itu menjejaskan kira-kira 6,000 penduduk di Pasir Gudang, terutama pelajar sehingga 111 sekolah di kawasan berkenaan diarah tutup sementara.
Jarak sejauh 1.5km kawasan Sungai Kim Kim yang tercemar dengan sisa kimia berbahaya itu sudah dibersihkan dengan sejumlah 1,500 tan air sungai dan 900 tan enap cemar dengan sisa kimia berbahaya turut dilupuskan dari sungai berkenaan.